Tuesday, November 27, 2012

Our dinner...

Assalamualaikum to all.......

"Sedap ke Crepe durian tu?" tanya si Kakak.

"Sedap la bagi orang yang gemarkan durian," jawab cik June sambil mengatur langkah masuk ke dalam Tesco petang itu dengan Kakak. "Kalau ada durian yang siap berkopek karang mama nak belilah...teringin nak buat sendiri."

"Tak payah la ma...bukan ada siapa yang nak makan. Membazir je nanti," sahut si Kakak pula. 

Di rumah cik June ni...anak menantu tak makan durian. Cik June sorang je yang teringin kadang-kadang....tapi cik June gemar dimasak. Seperti dimasak bersama bubur kacang atau dijadikan serawa yang dimakan bersama pulut. Teringin juga nak merasa jika dijadikan Crepe tu macam mana?

Dah dua minggu ni, kami makan salad...pelbagai digayakan oleh si Adik kerana semenjak naik sem baru ni, banyak pakaiannya agak sendat. Maka dia sekarang tengah ber'diet'.......

"Kita buat salad Melayu pulak la," cik June beri cadangan pada si Kakak bila di Tesco ni datang lambat sikit tinggallah yang koret-koret yang dah lemau dan dah layu.

"Suka mamalah," balas si Kakak. 

Maka, malam itu terhidanglah menu masakan kampung kami yang mudah dan enak pula rasanya. Jom!




Lauk mudah....

"Mama nak buat apa ni?" tanya si Adik yang memandang cik June di singki sedang membalut ikan cencaru yang disumbat itu dengan daun kunyit.

"Cencaru sumbat...dah lama tak buat kan?"  cik June tanya dia balik. Resipi ini adalah dari pembantu cik June semasa kami tinggal di Bagan Serai, Perak dahulu. Walaupun masih seorang gadis dan berusia sangat muda, dia yang kami kenali dengan panggilan Nab itu sangat pandai dan cekap di dalam membuat kerja-kerja rumah. Mungkin itu kepakaran dia kerana tidak bersekolah tinggi barangkali. Semoga Allah berkati dia walau di mana pun dia berada sekarang ini. Aamiin!

"Sayur apa?" tanya si Adik sambil membelek dalam singki.

"Salad Melayu je la...asyik salad omputih tu jemu pulak.." jawab cik June. "...tu timun dan sengkuang tolong hiris." Sementara di tungku cik June sedang menggoreng tauhu.



Cencaru sumbat....

Resipi untuk ikan sumbat...
IKAN CENCARU SUMBAT
3 ekor ikan cencaru ~ dibelah belakangnya dan dibersihkan. Lumur dengan garam dan kunyit.

Bahan untuk sambal...
20 tangkai cili kering ~ digunting kecil2 dan di basuh bersih
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci belacan ( ada yg menggantikan belacan dgn ikan bilis ) 
segenggam kelapa parut muda ( kalau tua kang rasa hampas )
asam jawa, garam dan gula secukup rasa
daun kunyit untuk membalut ( jika suka )
Cara:
1. Gorengkan semua bahan kecuali kelapa parut dan tumbuk lumat atau kisar dengan menggunakan pengisar kering.
2. Gaul rata dengan kelapa parut dan perasakan dengan asam jawa, gula dan garam. 
3. Isi ke dalam ikan yang dibelah belakang tadi.
4. Lilit dengan daun kunyit dan goreng hingga masak. ( Nak bakar pun boleh juga...no hal )



...pecal


Ini hasil kerjatangan si Adik...
Kebetulan ada pucuk ubi secekak yang cik June beli di Pasar Malam hari Sabtu lepas. Dapatlah join sekali.




Alhamdulillah....

Alhamdulillah...kita masih beruntung kerana mampu menikmati makan malam dengan sempurna walau pun menu ala kadar. Cuba kita renung nasib rakyat Palestin yang terpaksa mengharungi hidup mereka di bawah hujan peluru dan bedilan? Bagaimana mereka mahu mengisi perut yang lapar jika hidup dalam ketakutan?

Practice Makes Perfect: Renung-renungkanlah dan selamat beramal!





Monday, November 26, 2012

Oh! Lappyku....

Assalamualaikum to all...........

"Huhuhuhu...isk...isk...isk...!!!" macam-macam rupa bunyi tangisan yang keluar bila pagi Jumaat itu dengan tidak tersangka-sangka punggungku yang tidak berapa nak tonggek ini telah terduduk di atas lappy yang diletakkan di atas sofa. Macam manalah biji mata ni boleh tak nampak? 

Adoi! Bukan saja menangis di dalam hati...tetapi kekecewaan itu membuatkan cik June menonggeng-nonggeng menyesali diri kerana pagi itu.......

Hujan yang lebat turun sejak Subuh...jadi semasa usai solat, cik June masih membiarkan langsir pintu sliding itu bertutup. Lampu juga dibiarkan tidak berpasang kerana jam sudah menunjukkan hanpir pukul 8.00 pagi. *kes nak jimat letrik*

Setelah melambai pergi si Kakak, cik June cepat menekan remote controller menutup pagar rumah. Mujur pakai pagar automatik, jika tidak harus juga cik June kena berlari di dalam hujan membuka dan menutup pagar rumah. 

Tiba-tiba si Uteh menghantar Whatsapp.... 

Cik June belek dua tiga kali untuk meyakinkan diri...haahlah...Uteh dah install Whatsapp...dapatlah kami berborak tanpa suara sepanjang hari macam ni...percuma lagi...hehehe 

Sambil membaca Whatsapp dari Uteh tu, cik June mengundur sambil melabuhkan duduk. Memang biasa confirm port tu paling enak dan empuk sekali untuk beristirehat. Setelah membalas Whatsapp dari Uteh itu, cik June baru perasan ada rasa sesuatu yang mengalas punggungku di situ. 

"Makkkk!!" Cik June terjerit sendirian bila ditoleh Cik Lappy tu yang ku jadikan alas dudukku tadi. 
Serta merta cik June hilang mood...nak masak itu dan ini semua dibatalkan. Mood kecewa itu datang sendiri membuatkan kita bersedih sepanjang hari. Makanya 'si dia' itulah yang menjadi peneman cik June ketika bersendirian selama ini. 

Petang itu Angah Whatsapp, "...apa cerita hari ni?"

"Cerita sedih," cik June balas.

Sekali...bukan sahaja Angah, dengan Abang Long semua tanya, "Kenapa?"

"Mama terduduk atas lappy...*sob sob sob*"
pinjam gambar pak cik gugle untuk contoh....

"Eh pastu?" balas Angah.

"Oh rosak ke laptop?" balas Abang Long pula.

Si Adik siap ambil gambar tunjuk crack yang terdapat di permukaan skrin.

"Nasib baik bukan MacBook air," balas Abang Long.

"Kalau pakai PC tak ada kes terduduk," balas Angah.

"Kecewa...nak tidur je la..." macam tu cik June balas pada Whatsapp Group keluarga jam 22.10 malam itu. Uarghhh!! sambung nangis dalam hati lagi.

Practice Makes Perfect: Malang tak berbau!


Wednesday, November 14, 2012

Cekodok Bilis je...

Assalamualaikum to all.......

Macam tak menarik je resipi cik June hari ni kan? 


cekodok bilis....


Cadang nak goreng mihun, nak masak ini, nak masak itu...tapi cik June sensorang je. Maka untuk mengalas perut pagi ni, cik June buatlah Cekodok Bilis ni aje. Colek dengan sambal ayam baki lauk dinner malam tadi. 

Untuk cari mood nak bagi Cekodok Bilis tu jadi sedap, cik June bawa ke laman sekangkang kera yang menghadap ke jalan besar. Kebetulan pagi ini cuacanya nampak baik pula....matahari mahu pula memberikan senyumannya. Ah!! Sudah tentu kering kain baju di jemuran.

Melambai lalu Mrs. Lim dari rumah nombor 17 yang pulang dari membeli suratkhabar dan mencari sarapan pagi juga barangkali kerana cik June nampak ada seplastik bungkusan di tangannya yang sebelah, manakala yang sebelah lagi memegang payung dan mengepit suratkhabar di ketiak. "Good Morning!" sapanya ramah.

Seronok pulak bersarapan di laman ni...nampak bas ekspress meluncur laju setelah lampu isyarat bertukar ke warna hijau. Sani Express dua tingkatlah...mak ai! Tentu orang di sebelah tingkat atas tu nampak cik June tengah berangan bersarapan di luar. 



nyamannya suasana...

Wah! Bahagia rasa bila lihat bunga-bunga segar berkembang selepas turunnya hujan. Terima kasih Ya Allah...kerana meringankan kerjaku dengan rahmatMU. Jika tidak terpaksalah cik June menarik getah menyiram pokok yang ada beberapa pasu itu setiap pagi dan petang. Itupun kalau ada di rumah...kalau gatal kaki nak merayap...memang lentoklah pokok-pokok itu di dalam pasu.


Kemboja merah dan bunga kertas...


Minggu lepas cik June melayan Hana Sofya yang ditinggalkan di sini buat teman berhibur cik June. Riuh rendah mulutnya macam mak nenek. Tak sangka si kecik tu baru je dua tahun setengah usianya, tapi sudah petah bercakap. Masa tu pula tengah hujan berlarutan, maka tak sempat cik June hendak membawanya keluar dari rumah pun. Nasib baik pula dia jenis yang suka menonton TV, jadi cik June umpan dengan channel 611 sepanjang hari. 


inilah keluarga cik June kalau ada semuanya.....


Nostalgia sungguh gambar ni....
Sebab itu cik June suka menyibukkan diri menulis sepanjang hari....dengan yang demikian, cik June tidak akan sedar masa yang berlalu. Nak masak-masak tunggu kalau ada sedara-mara yang datang bertandang atau anak-anak semua pulang. Buat masa ni, kita layanlah Cekodok Bilis ni dulu. Cik June tak sertakan resipilah anak-anak, sebab Cekodok Bilis ni mudah sangat membuatnya. 

Campurkan sedikit taugeh, daun bawang, ikan bilis dan ubi kentang yang dipotong kiub bersama sedikit tepung dan sedikit garam. Gaul rata sambil dimasukkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan yang dikehendakki. Goreng atau jika tidak suka berminyak, boleh dilempengkan sahaja. Lebih sedap dimakan dengan sambal tumis.


jom kita sarapan dulu!


Bon Appetit!






Monday, November 12, 2012

Apple Puff...

Assalamualaikum to all........

Seperti semua sedia maklum, cuti penggal persekolahan sudah pun bermula di seluruh Malaysia ini. Alhamdulillah! Senang sikit para ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah itu kerana tidaklah sibuk bersilat pagi-pagi untuk menyiapkan anak-anak dengan pakaian sekolah mereka mana hendak menyediakan sarapan dan bekal lagi...isy...isy...isy! Memang cik June salute para ibu yang mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberi itu. Penat gila beb, wa cakap lu!

Tapi menurut adik-adik cik June, waktu cuti ni lagi haru apatah lagi kena musim tengkujuh. Gila ar! Lapar memanjang....

Tak kering kuku dibuatnya, kalau pinggan mangkuk tu boleh bercakap, mau dah disumpahnya. Kalau peti ais tu boleh bergerak, dah lama dia lari menyorok kerana tidak tahan asyik dibuka tutup tidak berhenti. Ya ampun!

Cik June telah pun melepasi saat itu, tapi kalau anak cik June sepuluh orang, senaman aerobik tanpa sedar itu sudah pasti masih berjalan lagi. Hehehe.....

Walaubagaimanapun....Tuhan itu Maha Adil. InsyaAllah, usaha ibu bapa itu akan membuahkan hasil yang lumayan apabila anak-anak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan melalui keputusan peperiksaan mereka. Yang UPSR dapat 5A. PMR dapat 8A dan yang SPM pula dengan 10A. Pergh!! Rasa nak terbang melayang-layang di udara, kan?

Maka itu bagi anak-anak yang sedang mendudukki peperiksaan SPM mereka pada tahun ini, buatlah sehabis baik, agar usaha ibubapa melayan kerenah kalian mendapat pulangan yang lumayan di kemudian hari nanti. Kami sebagai ibu bapa hanya tumpang seronok sahaja dan bangga kerana mempunyai anak-anak yang cerdik dan pandai. Siapa yang tak suka, cer cerita?

Oo ye! Nampak tak wajah baru blog masak cik June ni? Hehehe...ini adalah hasil sentuhan anak sedara cik June Liesa Azemi. Oleh kerana dia pun sedang bercuti sekolah, maka cik June minta dia buat kerja sikit...kalau tak tentu dia melahu tak tau nak buat apa selain menonton, makan dan Zzzzzzz!

Sebagai permulaan, cik June isi dengan N3 pertama ini yang rupa nak tak nak jadinya. Ini dessert tengahari, hari minggu lepas semasa anak cik June datang bertandang. Sambil-sambil memasak hidangan tengahari, cik June buat sekali. Toleh kiri toleh kanan, raba sana raba sini semua bahannya ada, jadi cik June godek-godek dan jadilah Apple Puff ini........


Apple Puff........


Sekarang ini semuanya mudah...pastrynya cik June beli siap. Tinggal buatkan intinya sahaja. Bagi anak-anak yang ingin mencubanya, di bawah ini cik June sertakan dengan resipinya yang cik June perolehi dari SINI. Terima kasih kepada empunya blog yang sudi berkongsi resipi mudah ini. 

APPLE PUFF

Bahan-bahan
  • *3 biji epel - buang kulit dan potong dadu kecil
  • *2 sudu makan gula perang
  • *1/2 sk serbuk cinnamon
  • Pastry puff secukupnya
  • Kuning telur - utk sapuan dan gam
Cara-cara
  • Panaskan kuali. Satukan bahan inti * dan masak sebentar di atas api kecil hingga epel masak. Ketepikan.
  • Sementara itu, panaskan oven suhu 200 darjah celcius.
  • Ambil pastry, potong ikut suka sama size @ terap menggunakan cutter utk hasil yang lebih cantik.
  • Ambil sekeping pastry kelar bentuk bunga. Isikan inti sekeping pastry yg lain kemudian sapukan telur keliling. Ambil pastry yang sudah dikelar tadi dan cantumkan. Tekan sedikit agar melekat. Boleh gunakan garfu.
  • Susun ke atas loyang dan sapukan kuning telur. Bakar guna suhu tinggi dan masak hingga permukaan puff keperangan@keemasan. - kebiasaan hana bakar selama 20min suhu 200darjah celcius (bergantung oven masing2).Pembakaran kedua turunkan suhu sket sbb oven dah panas takot hangus.
  • Sejukkan di atas redai.



Resipi di atas, cik June kopipes dari blog beliau untuk rujukan anak-anak. Terima kasih Hana kerana sudi berkongsi resipi yang mudah ini.

Lebih sedap jika dimakan ketika masih panas-panas lagi. Alhamdulillah! Dapat juga jadi bahan kudapan cik June yang sedang sibuk membuat penambahan pada novel yang bakal terbit bulan Februari nanti. Tunggu akan kelahiran novel kedua cik June nanti ye?





Kepada anak-anak sekelian, sudi-sudikanlah mencuba resipi mudah ini. Kepada mereka yang tidak gemarkan inti manis, anak-anak boleh isikan dengan inti sardin/daging atau ayam juga. Bentuk dan rupa, ikut kreativiti masing-masing. Apa ada hal....kita yang buat dia, kan?




Okeylah...cik June suka nak akhiri dengan pantun dua kerat ni...

Gendang gendut tali kecapi.....
Kenyang perut suka hati! Muahahaha.......

Selamat Mencuba!



Sunday, November 11, 2012

Lapis Hawflakes...

Assalamualaikum to all.....

Practice Makes Perfect. Seperti tagline cik June tu...begitulah kita kalau membuat sesuatu. Mula-mula memang semuanya payah...mana ada benda yang senang? Mintak sedekah pun payah juga siap kena halau-halau lagi dan terpaksa membodohkan diri duduk tepi jalan minta belas kasihan orang. Kalau nasib tak baik, siap kena tangkap dengan pihak Majlis Bandaran lagi...hehehe

Ini kisah anak cik June yang mula berjinak-jinak ke dapur. Cik June yang sibuk memasak, mengarah dia membuat adunan untuk Kek Lapis Hawflakes yang dah bertahun tak pernah membuatnya lagi semenjak kek itu boleh dibeli. Cis!

Besan cik June yang berasal dari Miri Sarawak, telah membekalkan cik June dengan tepung Hong Kong. Jadi cik June usahakan untuk membuat salah satu adunan kek lapis Sarawak yang memerlukan tepung Hong Kong untuk membuatnya. Terima kasih Puan Halimah Junaidi.

"Ala...bukan payah sangat...google aje resipi dan ikut cara-cara membuatnya," arah cik June yang melihat dia macam takut-takut.

"Tak jadi ni rugi tau...banyak guna telur," sahutnya pula.

"Jadi tak jadi...rasanya tetap sama walau rupanya berbeza," sangkal cik June lagi menguatkan semangatnya untuk practice ke arah yang perfect. Bila lagi, kan?

"Yalah...yalah...adik buat la ni..." jawabnya dalam rela terpaksa. 

Dentam dentum....krang krung...lentam lentum....kelempang kelempung....akhirnya berjaya dia lalui cabaran yang cik June berikan siap dengan membasuh segala alat yang digunakan. *Itu yang bunyi macam dilanda topan Sandy tadi*

Tadaaa.........

Cer anda komen tang mana tak rupa kek lapisnya? 



percubaan pertama si Adik....


Tapi cik June pujilah...percubaan pertama Adik menjadi juga walau di awalnya tidak nampak lapisan kerana kulitnya tersiat ketika ditekan untuk memampatkan kek itu. Seterusnya sudah menjadi cuma warna pula agak kurang menyerlah, kan? Hawflakesnya pula tidak cukup ditabur pada setiap lapisan kerana sambil buat kerja sambil masuk mulut sekali. Namun, rasanya tetap sama.






Okey...anak-anak yang ingin sama mencuba, cik June sertakan dengan resipinya di bawah ini........

KEK LAPIS HAWFLAKES


resepi : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan : loyang  8" x 8" x 3"
  • 10 biji telur A
  • 300g tepung biskut marie (biskut marie dikisar halus, diayak dan kemudian barulah ditimbang)
  • 500g mentega berkualiti/pure creamy butter
  • 1 sudu besar ovallete
  • 75ml air sejuk (dari peti ais)
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 100g gula kastor 
  • 300g susu pekat manis
  • haw slice/ hawflake secukupnya
  • 2 sudu besar pes pandan cap Koepoe-Koepoe(boleh juga menggunakan pes pandan jenama lain)
  • sedikit pewarna kuning telur (DJ menggunakan pewarna Star Brand)
cara-cara :
  1. Pukul telur, gula, esen vanilla, air sejuk, tepung biskut marie dan ovallete hingga kembang. 
  2. Dalam bekas yang lain, putar mentega dan susu hingga putih berkrim.
  3. Kemudian satukan langkah 1 dan 2. Putar sebati dengan menggunakan kelajuan paling minima.
  4. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Lebihkan sedikit untuk adunan kuning. (bubuh pes pandan dan pewarna kuning) 
  5. Sementara itu, panaskan oven pada suhu 180-200C atau mengikut kepanasan suhu oven masing-masing. Sediakan loyang yang telah disapu mentega dan dialaskan dengan kertas minyak/baking paper. 
  6. Masukkan 7 sudu besar adunan untuk lapisan kuning ke dalam loyang dan ratakan. Kemudian grill/bakar sehingga keperangan (lebih kurang 5-7 minit). Setelah masak, keluarkan dari oven. sekiranya lapisan nampak tidak sekata, tekankan perlahan-lahan dengan alat penekan kek.  Setelah  itu, tuangkan lagi adunan kuning dan ratakan. Buangkan gelembung/bubble jika ada atau hentak-hentakkan sedikit loyang tersebut sehingga bubble pecah dan adunan nampak licin. Barulah dimasukkan semula ke dalam oven dan bakar hingga perang. (ini untuk memastikan kek tidak berlubang-lubang dan lapisannya cantik sekata)
  7. Buat lagi untuk lapisan kuning hingga menjadi 3 lapisan. Untuk lapisan yang ketiga, susunkan kepingan hawflake secara rawak atau mengikut citarasa. Kemudian bakar hingga perang(x perlu ditutup dengan adunan). Kemudian masukkan lapisan hijau dan ulangi proses hingga habis. (PASTIKAN ADUNAN SENTIASA DIKACAU SEBATI DENGAN SENDUK/SPATULA/SUDU SEBELUM MELAPIS)
  8. Guna api atas dan bawah untuk lapisan pertama dan lapisan seterusnya menggunakan api atas sahaja sehingga habis. (Jika kek kurang masak, bakar untuk keseluruhan dengan memnggunakan api atas dan bawah selama 7-10 minit dengan suhu 140C-160C) 
  9. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong. Untuk menyimpan lebih lama, balutkan kek dengan plastik dan simpan di dalam bekas kek. Kemudian disejukkan ke dalam peti sejuk. 


Resipi di atas cik June kopipes dari sini >>>


Anak-anak yang berminat hendak membuat kek lapis...jengoklah ke dapur beliau yang banyak menyajikan Kek Lapis Sarawak yang cantik-cantik kejadiannya. 

Terima kasih cik June ucapkan kepada DJ yang tidak lokek dengan ilmu pembuatan kek lapisnya. Semoga pahala itu berpanjangan...aamiin!


Selamat Mencuba!





Friday, November 2, 2012

Kuih Siput...

Assalamualaikum to all...........

Hujan-hujan ni laparrrrr aje, kan? Korang cik June tak taulah...tapi perut cik June ni macam-macam rentak lagu yang keluar. Waktu pagi masih sempat dengar lagu Najwa Latif ~  Kosong. Bila buat donno aje sampai nak masuk waktu makan tengahari, keluar lagu Sleeq feat. Najwa Latif ~ Untuk Dia. 

"Kuatkan radio...kuatkan radio..." tapi telinga cik June dengar  "bukalah periuk....bukalah periuk..." Hadoi! Pening palak..." kata cucu cik June yang pandai berbahasa Sarawak kerana mommy dia orang Sarawak.


Hana Sofya...


Di rumah ni cik June masak ala-ala aje...untuk mengalas perut. Nak dijadikan N3 pun segan. Tapi Kuih Siput ni cik June masukkan juga kerana resipinya masih belum ada lagi disimpan di dalam blog ini. 

Cik June dan si Adik yang tengah cuti sem, duduk melengkar menghadap drama Korea tengahari itu. Sekarang ni kami tengah follow cerita Soeyoung, my daughter dengan The Innocent Man. Cik June memang tidak pandai duduk melahu kosong macam tu aje. Sekurang-kurangnya tangan hendak juga berjalan membuat kerja. Orang biasa dok menulislah katakan... Maka tengahari itu terhasillah Kuih Siput ini..........


Kuih Siput utk kudapan......


Semasa menonton drama Korea, jari jemari kami ligat menekan kuih siput. Senang betul membuatnya. 

"Hai! Mama ni tak boleh orang senang," rungut Adik yang dipaksa membantu supaya cepat siap.

"Bukan suruh berlari keliling kampung pun, sambil duduk aje," balas cik June pula. "...habis nak minta tolong dengan siapa lagi? Iera? Ieja? Niena?" Habis semua nama anak sedara cik June di Johor sana cik June sebut satu persatu.

Marahlah tu...cadang nak bawak dia berjalan ke Legoland tak kesampaian memandangkan musim hujan dan kawan cik June yang berada di area sana cakap tempat tu masih belum lagi siap sepenuhnya. Rugi je kalau datang dari jauh-jauh tu. Hek eleh! Propa je lebih dia orang ni, kan?

Akhirnya, dengan kerja yang paksa rela itu, siap jugalah Kuih Siput kami tengahari itu. Di bawah ini cik June sertakan resipi kalau anak-anak yang sedang bercuti sekolah ini hendak membuatnya sebagai bahan kudapan semasa menonton TV.

KUIH SIPUT
Bahan-bahannya:

1 kg tepung gandum
200 gm marjerin
200 ml santan
2 sudu makan serbuk cili
2 biji telur
2 sudu makan jintan manis + sepelepah daun kari + 1/2 cawan udang kering (dimesin halus)
1 cawan bawang goreng (ramas)
garam secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam satu bekas besar dan diuli perlahan sehingga menjadi doh yang diperlukan.
2. Ambil secubit dan ditekan di atas acuan kuih siput. Seeloknya dilakukan di dalam sebuah dulang yang besar agar kuih itu tidak melekat antara satu sama lain sebelum digoreng. 
3. Simpan di dalam bekas kedap udara bersama daun kari setelah gorengan sejuk sepenuhnya.





Tadaaaa.........
Dah siap pun, senang aje kan? Selamat mencuba!