Tuesday, January 29, 2013

Klepon/Onde2...



Assalamualaikum to all....

Eh? Benda alah apa tu? Muahaha....
Ini kuih Klepon kalau panggilan orang Indonesia. Cik June sempatlah belajar sikit bahasa mereka ketika suami cik June dihantar bertugas ke sana. Hehehe...*:D big grin


Klepon/Onde2

Sudah beberapa hari bercuti sejak Sambutan Maulidur Rasul sehinggalah ke Hari Thaipusam, adik yang tekun dengan kerja-kerja sekolahnya itu, tiba-tiba sahaja menyebut ingin membuat Onde2...

"Ma! Kalau nak buat Onde2 ada bahannya tak?"

Cik June yang sedang menyidai baju di belakang cepat mengingat bahan-bahan yang diperlukan. Kalau untuk inti gulanya...gula Melaka tu adalah. Kalau nak pakai gula nisan tu memang dah lama habisnya.

"Pakai ajelah gula Melaka yang ada tinggal seketul lagi tu, potong kecil-kecil," arah cik June.

Siap menyidai, cik June terus mencapai mangkuk dan mengisi tepung pulut yang masih berbaki setengah kampit lagi itu. 

"Cukuplah ni, bukan ada orang lain yang nak share pun..." ujar cik June menyuakan mangkuk berisi tepung pulut itu kepada adik. "...masukkan air sikit-sikit sampai boleh diuli ," pesan cik June lagi sambil menaburkan sedikit garam di dalam mangkuk itu. Kang suruh dia buat, termasin pulak. Makanya kelapa parut itu nanti akan digaulkan dengan garam juga.





"Ma!" jerit adik di dapur yang sedang menguli tepung. "Kaler hijau dah habis." Terdengar dia menyelongkar botol pewarna makanan yang cik June letak berbaris atas microwave supaya senang dicari waktu memerlukan. Maklumlah, botol-botol tu kan kecil aje?

"Kuning pun boleh," jawab cik June sambil melipat pakaian yang baru diangkat dari jemuran tadi. Tinggal di rumah yang berkongsi dinding kiri dan kanan ini, kepala otak haruslah kena cekap mengatur kerja. 

Ruang menjemur pakaian sangat terhad apatah lagi di musim hujan ini. Sementara mesin sibuk mencuci, kain di jemuran perlu diangkat untuk memberi laluan kepada yang baru dibasuh pula.

"Boleh tak kalau buat warna warni? Adik nak letak kaler merahlah," soal si adik yang masih sibuk hendak mewarnakan kuih Kleponnya.

"Suka hatilah...jangan tak dimakan sudah!" ugut cik June. Marah jugalah, kalau dia sibuk nak bereksperimen tapi akhirnya menjadi habuan Mister Tong Sam Pah...itu sudah masuk kategori membazir.

"Cuba mama tengok ni, okey tak?" bertanya dia dari arah dapur. 

Hendak tak hendak, cik June terpaksa juga bangun untuk melihat apa yang sudah terjadi dengan tepung tadi. "Laaa...ni lembik sangat, macam mana nak gentel nanti?" *#-o d'oh!

"Tak jadi ke?"*8-} silly

"Tambahlah sikit dengan tepung gandum," ujar cik June sambil membuka pintu kabinet mencari bekas tepung gandum. Stok tepung pulut memang tidak ada lagi...jadi cik June taburkan sedikit tepung gandum dan suruh adik menggaulnya sehingga rata.

Cik June capai periuk dan mengisi air ke dalamnya. Sehelai daun pandai dicuci dan disimpulkan untuk dimasukkan ke dalam periuk berisi air tadi sebagai aroma kepada kuih yang akan direbus nanti.






Stok kelapa parut yang cik June cadang hendak dijadikan kerabu kacang botol itu cik June gunakan untuk menyalut Klepon/Onde2 buatan si adik petang itu. Sedikit garam ditabur dan digaul rata sebagai perasa. 

"Gentel dan isi gula yang dicincang tadi ke dalamnya, macam ni..." cik June buat demonstrasi dulu. "...lepas tu terus masukkan ke dalam periuk."  Cik June tunjuk padanya semasa air di dalam periuk sudah mula menggelegak. 

"Bila nampak timbul, angkat dan toskan. Lepas tu masukkan ke dalam loyang yang berisi kelapa parut ni..."

"Ooo..." adik terangguk-angguk macam burung belatuk. "...senang aje rupanya," sahut si adik sambil terus mengambil alih kerja sehingga siap semuanya.  *=D> applause 

Sekian, aktiviti yang sempat cik June rakam buat mengisi blog yang hidup segan mati tak mau ini. Sesuai dengan namanya Practice Makes Perfect, cik June hidangkan dengan menu-menu mudah dan senang untuk anak-anak mengikuti. 

Sehingga bertemu lagi, Bon Appetit!


2 comments:

  1. onde2..buah melaka.. ;) paberet kuih time bulan puasa ni..hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih CikWan kerana sudi mampir ke dapur maya cik June yang tak semenggah ini...kunjungan anda amat dihargai...

      Delete