Friday, July 27, 2012

Kuey Teow Kungfu...

Assalamualaikum & Salam Sejahtera........

Nah! Amek kaw....
Gila lah...puasa-puasa ni nak Kungfu bagai, kan?

Nak dijadikan cerita, semasa cik June lama di Kluang dulu tu, cik June selalu sebut teringin nak masuk ke Kluang Mall. Kesian cik June dilahir dan dibesarkan di Kluang tetapi Kluang Mall pun belum pernah masuk.

Apa tidaknya, kalau sebut balik Kluang, terus aje ke rumah Emak dan bila dah jumpa dengan Emak.... memang tak akan keluar lagilah. Kalau bercerita ni, mau makan sampai seribu satu malam. Kalau cik June balik sendiri, cik June akan surrender awal....

"Mak! Kena tidur awal, esok nak drive balik," cik June beritahu dia. Jika tidak cerita zaman dulu semua keluar, lepas tu ketawa terkekek-kekek buat meluat orang yang  lelain yang sudah sedia mengantuk.

"Jom mak andak, kita jalan-jalan ke Kluang Mall," ajak anak sedara cik June, Niena, Eija, Eira dan Fahmy selepas malam kenduri tahlil hari ketujuh Emak pergi menemui Ilahi.

"Malam ni?" cik June tanya minta kepastian.

"Ha ah...jom la!" ajak Niena yang bakal pulang ke UiTM Lendu, di Melaka keesokan harinya.

"Korang tunjuk jalannya, mak andak ni nama je anak Kluang, tapi jalan-jalan semua dah tak tahu, dah lain sangat Kluang ni," bebel cik June. Mereka perlukan cik June untuk drive ke bandar tu. Waktu lewat begitu, bas memang dah tak ada.

Pusing sana belok sini, elok sampai ke tempat yang dituju, Kluang Mall yang dikatakan itu sudah pun melabuhkan tirainya. Tak ada rezeki, nak buat macam mana. Jadi si Niena mengajak makan di satu tempat yang makanannya sedap-sedap dan enak rasanya.

"Mak andak pernah try Kuey Teow Kungfu?" 


Cik June geleng kepala. Memang cik June ni sakai sikit bab makanan. Kalau yang namanya pelik tu memang cik June tak akan order.

"Tapi yang ini memang best mak andak. Nanti Niena orderkan untuk mak andak."




Ini bukan yg Niena order...ni versi cik June


Beria-ia Niena promote menu itu untuk cik June rasa. Terima kasih banyaklah Niena....tak sangka anak saudara mak andak sudah boleh belanja mak andaknya makan di luar. Memang sedap! Bila cik June rasa, lebih kurang gaya Kantonis cuma mungkin kuey teow itu digoreng bersama telur terlebih dahulu.

Semalam, untuk berbuka teringat nak masak sama ada Laksa Sarawak atau Kuey Teow Kungfu. Bila taugeh susah pulak diperolehi, cik June buat Kuey Teow Kungfu kerana bahannya sudah ada.


Kuey Teow yg siap digoreng dgn telur, menunggu masa utk dicurahkan kuah ke atasnya.....


Kuey Teow Kungfu ini sedap dimakan dengan lada jeruk atau cili potong bagi orang yang sukakan makanan pedas. Untuk cik June tak ada masalah....cik June memang jenis yang tidak tahan pedas. Perut cepat meragam....kesiannya kan?

"Mi apa ni?" Adik yang balik dari kelas bersaing dengan kakaknya yang pulang dari kerja petang itu membelek isi pinggan.

"Kuey Teow Kungfu," jawab cik June yang sedang menyediakan kuahnya di dapur. Rumah kecil kami tu dapur dan meja makan dekat bersebelahan aje.

"Lebih kurang macam kuah Sizzling hari tu je?" komen Adik sambil bercekak pinggang ala mandor estate.

Dia sorang ni tak boleh kalau tak komen, bakal lawyerlah konon.....
mulutnya pot pat pot pet....kalah burung murai. Isy! Plasterkan aje lain kali.....


Adik suka makan begitu sahaja...tanpa lada jeruk


Ini bahagian Kakak yg berhantu dgn lada jeruk... "Kak! Stok lada jeruk itu yg last tau?"


Untuk anak-anak yang mahukan resipi mudah ini...jom kita salin...................


KUEY TEOW KUNGFU....
Bahan-bahannya...
1 bungkus kuey teow
5 biji telur ~ dipukul sedikit

sedikit udang basah
sedikit isi ayam
beberapa keping fishcake

bunga kobis
brocolli
carrot
baby corn

3 ulas bawang putih ~ di cincang
Air rebusan ayam atau digantikan dgn kiub pati ayam juga boleh.
Tepung jagung yg dibancuh dgn air
Garam, gula  & lada sulah sebagai perasa

Cara menyediakannya...
1. Goreng kuey teow sekali dengan telur sehingga agak garing. Ketepikan.
2. Tumis bawang putih dan masukkan isi ayam, udang & fishcake.
3. Masukkan air rebusan ayam/ kiub pati ayam, bunga kobis, brocolli, carrot dan baby corn.
4. Campurkan dengan bancuhan tepung jagung tadi utk memekatkan kuahnya.
5. Letak garam, gula dan lada sulah. Rasa masam manisnya.
6. Apabila siap, bolehlah dicurahkan ke atas kuey teow yg siap bergoreng tadi.

Cik June biasa masak pakai agak-agak dan campak-campak mengikut keperluan kami bertiga di rumah ini. Tiada sukatan digunakan, maka itu cik June beri bahan asas yang digunakan sahaja. Jika anak-anak teringin membuatnya, pandai-pandailah agak ye?


Selamat Berbuka Puasa!




Terima kasih Niena kerana memperkenalkan Kuey Teow Kungfu ini kepada mak andak.




Wednesday, July 25, 2012

Sizzling Yee Mee...

Assalamualaikum & Salam Sejahtera....

Alhamdulillah....empat hari sudah kita berpuasa dan baru inilah kali pertama di dalam bulan Ramadan cik June dapat update blog tempat cik June mencurah dan menyimpan jurnal. Namun dapat ditatap oleh sesiapa yang sudi mengintainya.

Sejak awal Ramadan memang cik June tak berkesempatan kerana masaknya dah hujung-hujung hari. Bila masuk waktu berbuka sahaja, masing-masing sudah menyudu....macam mana hendak dirakam gambarnya? Hehehe...tak apalah kan? Nak dibuat macam mana?

Di bulan puasa, sudah menjadi kelaziman kami jarang terus berbuka dengan nasi. Anak-anak mahukan inilah, itulah dan nasi hanya akan dimakan semasa bersahur nanti. Untuk menu hari keempat Ramadan ini, cik June masakkan Sizzling Yee Mee.




Sizzling Yee Mee ala cik June....




Kita yang buat dia, suka hatilah nak letak apa, berapa banyak yang kita suka kerana makan di rumah kan? Anak cik June tak sukakan sawi biasa kerana menurut mereka yang itu pahit sikit rasanya. Maka bila masak di rumah,  cik June ubah dengan sawi Jepun yang pendek-pendek tu.

"Nak letak telur tak?"


"Tak nak!"  serentak mereka menjawab.

Alhamdulillah...selamat telur-telur di dalam esbok tu. Boleh dijadikan bahan untuk menu-menu yang lain atau paling tidak pun kalau terlajak tidur waktu sahur nanti, boleh digoreng jadikan telur mata kerbau/lembu.


Anak-anak cik June memang expert menyepit...kalah orang Cina


Semalam si Kakak balik dengan sepeket isi durian. Mak ai! Baunya aje dah sampai ke dapur, walhal orangnya baru je menutup pintu kereta di depan rumah.

"Ma! Ada orang bagi akak durian..." katannya bangga.

"Hah! Orang mana tu?" cik June sergah dia...sapa yg baik hati sangat nak bagi percuma ni kalau tak ada makna?

"Ala...staf Tesco tu la..." 


"Simpan la dulu...esok mama buat Bubur Kacang. Makan mentah nanti demam," saja cik June takutkan. Karang dia belasah habis sepeket tu pulak. Makanya cik June kalau makan mentah, kureng sikit. Kalau dicampur dengan Bubur Kacang atau dibuat Serawa, memang berulang makannya. Apatah lagi kalau sudah disimpan di dalam esbok tu. Pergh!



Inilah hasil durian yg dibawa pulang oleh si Kakak semalam....

Untuk Bubur Kacang Durian ni, tak payahlah cik June salin resipinya ya?  Cik June share resipi Sizzling Yee Mee  ini sahaja kerana resipi ini memang belum pernah tersimpan di dalam blog ini. Untuk anak-anak yang ingin membuatnya, jom salin........

SIZZLING YEE MEE...
Bahan-bahannya...


Yee Mee secukupnya. ~ boleh dicelur dahulu jika suka. anak-anak cik June gemarkan begitu sahaja.
Di sini cik June nyatakan bahan asas sahaja. Jika masak ikut keperluan.
Bawang putih
Cendawan ~ boleh di dapati di kedai runcit dlm bentuk kering. Rendam sebelum digunakan.
Daging ayam ~ dipotong kecil-kecil.
Sedikit cili kering ~ digunting serong
Sos tiram
Kicap pekat
Kicap cair
Halia ~ diketuk
Lada hitam ~ ditumbuk kasar
Air secukupnya
Tepung jagung yg dibancuh dengan sedikit air utk memekatkan kuah.
Minyak utk menumis
Sayur sawi ~dicelur
Lobak merah & telur ~ jika suka


Cara menyediakannya:
1. Tumis bawang putih, cili kering dan halia.
2. Masukkan ayam dan digoreng sekejap.
3. Masukkan air, kicap cair, kicap pekat dan sos tiram. Kacau rata dan rasa masam manisnya.
4. Masukkan cendawan, bancuhan tepung jagung dan lada hitam.
5. Biarkan kuah mendidih dan ayam tadi cukup masak.
6. Semasa menghidang, siram kuah di atas yee mee dan pecahkan telur ke atasnya.




Cendawan...merupakan bahan penting dlm menu ini....





Jom berbuka gaya mudah....






Selamat Berbuka Puasa & Bon Appetit!



Friday, July 20, 2012

Nasi Minyak...

Assalamualaikum & Salam Sejahtera............

Bertemu lagi kita di pagi Jumaat yang berbahagia ini, alhamdulillah.
Bersempena bakal menyambut Ramadhan, cik June di rumah ni pun berkemaslah sikit-sikit. Haritu dah dikemaskan bahagian luar rumah, beberapa pokok yang sudah tidak perlukan pasu, sudah ditanam di atas tanah di luar pagar. Kuat juga cik June menyangkul bergilir-gilir dengan Adik yang kelasnya hari itu telah dibatalkan.
Hari ini pula apabila tinggal sendirian, cik June mengemas bahagian dapur. Melihat stok makanan yang tinggal, apa yang perlu ditambah dan apa yang dapat dibuat dengan lebihan yang ada. 
Oops! Ada saki baki beras Basmathi entah bila. Sebulan sudah cik June tinggalkan rumah ini kerana balik ke Kluang bulan lepas, masih elok ke?
Bukan banyak mana pun...cuma ada dua cawan sahaja. Tetapi kalau dijadikan pemakan untuk cik June bertiga yang menghuni rumah ini, insya-Allah sangat mencukupi kerana kami makan serempak waktu malam sahaja.
So....nak masak apa ni?
Selepas mengintai isi perut esbok pula, ada lebihan ayam yang cik June beli seekor yang bahagian isi dan pahanya sudah dijadikan menu Chicken Chop semalam. Nasi Minyak je la...senang sikit.







N3 hari ini merupakan N3 berulang. Jadi Cik June tak payahlah sertakan resipinya di sini, karang muntah hijau pula orang melihatnya....macam tak ada idea pulak.
Tapi cik June lebih senang masak begini kerana tidak pening kepala hendak mencari idea lauk apa yang sesuai digandingkan bersama lauk yang dimasak pada hari itu.
Nasi Minyak, lauknya memang sudah berjalan seiring, ada acar, ayam masak marah/ayam sambal atau ayam masak kurma yang menjadikan satu hidangan yang lengkap. Kebetulan cik June masih simpan sepeket papadom, maka hanya perlu digoreng sebagai makanan tambahan.

"Ma masak apa ni?" tanya Adik yang baru pulang dari kelas petang itu.

Cik June diam aje...tengoklah sendiri, bukan awak tu tetamu?

"Tutup api dapur tu, cedok masuk ke mangkuk," arah cik June bila dia masuk ke dapur sama mengacau Acar yang sudah siap itu.

"Dah boleh makan ke?"


"Makanlah," jawab cik June sambil memanjat tangga untuk menunaikan solat Asar.

Terdengar bunyi kerepak kerepuk di bawah. Kemain dia meratah Papadom yang siap bergoreng penuh satu bekas plastik. Sebulan cik June tinggalkan, tak pulak mahu dia mencari dan digoreng jadikan pemakan.


...bersama lauk sampingan....


"Huisy! Akak kena soal siasat 4 jam dengan polis hari ni..." kata si Kakak yang baru pulang membawa berita tergempar dari Tesco, tempat kerjanya hari ini.

Cik June di tengah mata tangga usai solat tadi bertanya, "Kenapa?"


"Budak cashier tu bawak lari duit tiga ribu," sahut si Kakak teruja dengan kejadian ala-ala CSI.

"Habis tu dah kena tangkap?"


"Mana ada...dia dah lari."


"Kenapa akak pulak disoal?"


"Staff admin semua kena," jawabnya.

"Kesiannya budak tu," ujar cik June. "Mana aje dia nak pergi dengan duit sebanyak itu? Esok-esok nak mintak kerja dah susah, nama dah ada dalam fail polis." Macam-macam aje...tak fikir panjang budak tu. "Dahlah! Makan cepat, karang dah masuk Maghrib."








"Bukan dalam bulan puasa pun kita makan masa dengar azan Maghrib ke?"


"Itu bulan puasa, setan-setan dah kena ikat. Sekarang ni kalau kita makan waktu Maghrib, setan sama berlumba-lumba masuk ke perut kita," marah cik June mengingatkan. Isy! Bebudak ni kalau tak menjawab tak sah.

Anak cik June yang kedua minta ber 'skype' malam itu. Dia dalam persediaan untuk ke San Diego membentangkan kertas kerjanya. Cik June pesan macam-macam.... "baju-baju dah cukup? dah simpan dalam beg? paspot, henset, kamera dan charger semua masukkan sekali dari malam. Esok pagi dah nak bertolak." 

Angah yang tinggal di Brisbane masanya awal 2 jam dari Malaysia. Masa kami ber 'skype' jam 8.30 di Malaysia, dia sudah masuk pukul 10.30 malam.
Di sana malamnya sepi betul. Tak ada hiruk pikuk, riuh rendah bunyi suara anak-anak yang masih bekejar di laman. Mungkin kerana mereka pun bukan ada anak. Yang tinggal di kiri kanan rumah Angah di Young Street, Annerly tu semua kapel-kapel aje.

"Alarm jangan lupa pasang volume yang paling kuat, kalau tidak karang tertinggal penerbangan." 
Eh! Risau betul. Kalau aje cik June tinggal di rumah sebelah, boleh diketukkan pintu rumahnya. Atau kalau tinggal dalam sama daerah, boleh di call. Ini dia jauh di Brisbane, masa cik June sedap tidur, dia dah kena bangun untuk bersiap pula.

"Mama masak apa hari ni?" Itu soalan wajib Angah setiap kali dia bertelefon atau ber 'skype'.




Tak apa, nanti Angah balik bercuti raya di sini, kita masak dan makan puas-puas. Kesian Angah!
Bon Voyage Ngah, all the best & good luck!



Thursday, July 19, 2012

Chicken Chop ~ versi kampung

Assalamualaikum & salam sejahtera........

Muahaha...cik June ketawa sendiri semasa nak update N3 hari ini. Tak tau nak diletak dalam kategori apa masakan cik June semalam. Kalau blogger masak otai yang baca memang dia menyumpah sebakul agaknya. '...ada hati nak buat Chicken Chop tapi tak semenggah aje gayanya.'

Al-kisah....anak-anak cik June yang dibesarkan di dalam kawasan perladangan ini, makanan barat itu merupakan makanan kegemaran mereka. Makanan barat ini mudah sebenarnya....kalau untuk sarapan pagi, cik June akan gorengkan jejari kentang yang boleh dibeli di pasar-pasaraya dalam bentuk shoestring atau crinkle cut.
Di sebelah tungku lagi, cik June akan menyediakan burgernya. Maka sarapan pagi mereka dah macam rancangan 'Man VS Food'. Untuk tengahari atau makan malam mereka lebih gemarkan Chicken Chop.




Oleh kerana kami yang tinggalnya jauh di pedalaman....maka cik June haruslah memandaikan diri mengubahsuai resipi asal itu kepada ala-ala kampung jika bekalan tidak mencukupi. Namun akhirnya, anak-anak lebih gemarkan versi kampungan ini pula. Alhamdulillah....tambah senang kerja cik June, kan?

Semalam cik June tanya si Adik.......

"Adik...kelas habis kol berapa?"


"Kol nam," sahutnya jauh sambil menghidupkan enjin kereta.

"Nak masak apa ek malam ni," tanya cik June kerana makan malam harus mengikut selera mereka, jika tidak akan berlaku pembaziran. Anak-anak cik June tak sukakan lauk pisang muda, nangka muda dan yang seangkatan dengannya. Susah sikit...

"Kalau buat Chicken Chop, ada tak bahan-bahannya?"  Cewah!

"Nanti mama tengok macam mana.." 


Sudah beberapa hari ini, masaknya cincai-cincai aje. Nak dijadikan N3 pun segan. Tapi oleh kerana sudah lama sangat tak update blog masak ni, maka resipi mudah ini ingin cik June kongsikan juga dengan anak-anak yang teringin mencuba.


Si Kakak sudah mencurahkan kuahnya....


CHICKEN CHOP ~ versi kampungan
Bahan-bahannya...
4 ketul paha ayam atau bahagian dada 


Cara menyediakannya....
1. Hiris isi ayam di sekeliling bahagian tulang paha dan patahkan tulang itu. Jika menggunakan dada pula, hiris  
    nipis agar menjadi lebar.
2. Perap dengan sedikit garam dan sebuk lada hitam.
3. Golekkan atas tepung gandum.
4. Salutkan dengan putih telur.
5. Golekkan pula atas tepung jagung. Boleh juga digolekkan atas bread crumbs, jika suka.
8. Goreng dalam minyak yang banyak hingga kekuningan.

Untuk kuah kampungan...
1 biji bawang besar didadu atau dihiris bulat sahaja.
Sos tomato & sos cili secukupnya.
Garam dan gula jika perlu.


Cara menyediakannya....
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang yang didadu/dihiris tadi hingga layu.
2. Masukkan secawan air sejuk diikuti dengan sos cili dan sos tomato. Seimbangkan rasanya. Jika inginkan 
    sosnya pedas, bolehlah ditambah dengan sedikit cili kisar semasa menumis bawang tadi.
3. Rasa masam manisnya mengikut citarasa masing-masing.

Bahan sampingannya pula, anak-anak cik June lebih gemarkan kacang buncis dan lobak merah yang dicelur dan kacang panggang. Jejari kentang juga sesuai dijadikan bahan sampingan untuk Chicken Chop versi kampungan ini.




Bahan sampingan....




Kakak dah 2nd round....kalau kat restoran tu mcm mana?




Jom mencuba anak-anak....




Dikesempatan ini cik June ucapkan salam Ramadhan al-Mubarak kepada anak-anak yang dikasihi...semoga ibadah puasa tahun ini akan diberkati Allah SWT. Amin!




                                                                    
                                                                  

Thursday, July 12, 2012

Sandwich je?

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ya ampun!! Percaya ke tidak, cik June di serang denggi?
Patutlah demamnya macam air pasang surut, kejap lega dan petang tu naik balik panas badannya. Cik June dah mula demam sejak berada di rumah Emak di Kluang Johor, tapi digagahkan juga untuk balik bila sampai masa anak datang menjemput.

Di rumah Emak, anak Lela sudahpun tolong mengurut satu badan kerana cik June sangka cik June kena demam urat dok memasak kenduri aje.

Sampai di rumah, demamnya naik balik. Maka anak cik June membawa cik cik June ke klinik untuk dibuat pemeriksaan apabila setelah berurut di  Manjakaki yang bertempat di Tesco itu masih belum nampak perubahannya.


....rotinya di bakar garing...






Di Poliklinik Shaik, Kota Kemuning pula, doktor yang memeriksa serta merta memeriksa tekanan darah dan mengambil sedikit sample darah dan mengesahkan cik June ada kencing manis dengan bacaan 10.1. Adoyai! Banyaklah pulak pantangnya...itu tak boleh, ini tak boleh....habis tu tak payah makan ke?

Akibat kekurangan gula dalam badan, cik June rebah tengahari itu dan menyebabkan anak cik June membawa cik June ke KPJ, Shah Alam dan di situ pula mereka mengambil sample darah setelah diberitahu bahawa cik June sudah demam hampir seminggu lamanya.

"Mak cik baring sana, kena drip ni...dah dehydrated," kata doktor yang memeriksa. Hampir habis sebotol air masuk ke badan, baru rasa pening-pening lalat itu hilang dan doktor datang lagi mengesahkan sample darah yang diambil tadi positif denggi. Gila! Nyamuk aedes mana yang berani sangat ni? Dari Kluang atau dari Setia Alam?

Wah!! Cik June serta merta di tahan di wad, katil 424 hari itu. Mujur dipanjangkan umur dan akhirnya setelah beberapa botol masuk ke badan beserta dengan ubat yang diperlukan, cik June dibenarkan pulang. Entah hari apa masuk, entah hari apa keluar, cik June hilang ditelan masa. Ternyata itu sebagai satu peringatan dari Allah SWT...cik June anggap ia sebagai penghapus dosa kerana mungkin asyik terleka.

Badan masaih rasa terhoyong hayang, tekak pun belum berapa sedap nak makan. Automatik...kalau tukang masak tak berapa nak sihat, dapur pun kurang berasap. anak-anak cik June suruh aje makan di kantin sekolah/pejabat kalau nak sedap. Manakala cik June makan ajelah apa yang terasa sedap di tekak. Tiada ubat yang dibekalkan cuma Doktor Hamidah tu pesan 'jaga pemakanan'. TQ doc!

Untuk menu hari ini dari dapur cik June...sambil tutup mata pun boleh buat, paling mudah dan ringkas...




Wholemeal Tuna Sandwich... 
Roti wholemeal itu di bakar garing dan di sapu dengan Tuna Mayonaise yang boleh dibeli di kedai dan lapiskan dengan salad, tomato dan timun. Sesekali tu sedap juga ala-ala di Starbucks. Lawan dengan Nescafe panas yang ditarik tinggi dan berbuih di atasnya....mak ai!

Cubalah!


P/s: Abaikan yang ada garisan putih tu...



Tuesday, July 10, 2012

Spaghetti Marinara...

Assalamualaikum & salam sejahtera buat anak-anak yang disayang...

Wahhhhh!! Ini bukan kes sedang menguap....tapi baru mendepangkan tangan, mengambil mode masuk ke dapur pertama kalinya setelah hampir sebulan bercuti.

Mak ai!! Sang Lelabah pun sama sibuk memasang jejaringnya merentasi rak pinggan ke ampaian kain yang tidak dijengah sudah hampir sebulan itu?

Cik June ke mana?

Untuk pengetahuan anak-anak yang singgah ke dapur cik June tetapi hampa itu, cik June mohon maaf kerana cik June berada di luar kawasan. Anak-anak bolehlah ke sini untuk mengetahui apa yang berlaku selama cik June menghilangkan diri itu.

Alhamdulillah.....sekarang ini semuanya telah kembali pulih seperti sediakala. Sebagaimana pepatah Melayu ada mengatakan, hidup itu lawannya mati....yang pergi tetap pergi dan hidup pula, haruslah meneruskan hidup ini.

Maka....sebagai permulaan....cik June hidangkan anak-anak dengan resipi mudah yang telah lama cik June teringin buat. Memandangkan di penempatan cik June ini, kupang segar agak susah diperolehi, maka cik June batalkan hasrat itu buat sementara waktu.

Namun semasa cik June berada di Johor, kupang segar ini mudah pula ditemui. Jadi....dengan murah hati adik bongsu cik June tadi, dia telah membekalkan dengan beberapa kilo kupang segar ini untuk dibawa pulang....dengan itu terhasillah resipi untuk hari ini, iaitu Spaghetti Marinara.




...brunch...


Untuk anak-anak yang teringin membuat resipi mudah ini, jom kita salin..........

Spaghetti Marinara...
Bahan-bahannya...
1/2 peket spaghetti ~ direbus hingga lembut dan ditoskan
5 biji bawang putih ~ ditumbuk
Sekeping dada ayam, tiga batang hot dog, udang dan kupang secukupnya
1/2 kotak kecil whippping cream
1/2 cawan fresh milk
1/2 cawan fresh cream
secubit dry oregano, thymes & mixed herbs
cendawan butang, garam dan serbuk lada hitam
1 peket mushroom soup segera (jika mahukan sedikit berkuah)
serbuk cheese

Cara menyediakannya...
1. Tumis bawang putih bersama isi ayam. Kacau sebentar.
2. Masukkan udang, hot dog dan kupang tadi. Gaul rata dan tutup sebentar, biar kupang itu masak.
3. Masukkan whipping cream, fresh cream dan fresh milk. Gaul lagi.
4. Letakkan sedikit garam sebagai perasa, dry oregano, thymes dan mixed herbs tadi.
5. Masukkan spaghetti yang telah direbus dan ditoskan terlebih dahulu tadi ke dalam bahan-bahan kuah dan
    digaul rata.
6. Taburkan lada hitam dan serbuk cheese serta potongan lemon ketika hendak menghidang.




Selamat Mencuba!