Bertemu lagi kita di pagi Jumaat yang berbahagia ini, alhamdulillah.
Bersempena bakal menyambut Ramadhan, cik June di rumah ni pun berkemaslah sikit-sikit. Haritu dah dikemaskan bahagian luar rumah, beberapa pokok yang sudah tidak perlukan pasu, sudah ditanam di atas tanah di luar pagar. Kuat juga cik June menyangkul bergilir-gilir dengan Adik yang kelasnya hari itu telah dibatalkan.
Hari ini pula apabila tinggal sendirian, cik June mengemas bahagian dapur. Melihat stok makanan yang tinggal, apa yang perlu ditambah dan apa yang dapat dibuat dengan lebihan yang ada.
Oops! Ada saki baki beras Basmathi entah bila. Sebulan sudah cik June tinggalkan rumah ini kerana balik ke Kluang bulan lepas, masih elok ke?
Bukan banyak mana pun...cuma ada dua cawan sahaja. Tetapi kalau dijadikan pemakan untuk cik June bertiga yang menghuni rumah ini, insya-Allah sangat mencukupi kerana kami makan serempak waktu malam sahaja.
So....nak masak apa ni?
Selepas mengintai isi perut esbok pula, ada lebihan ayam yang cik June beli seekor yang bahagian isi dan pahanya sudah dijadikan menu Chicken Chop semalam. Nasi Minyak je la...senang sikit.
N3 hari ini merupakan N3 berulang. Jadi Cik June tak payahlah sertakan resipinya di sini, karang muntah hijau pula orang melihatnya....macam tak ada idea pulak.
Tapi cik June lebih senang masak begini kerana tidak pening kepala hendak mencari idea lauk apa yang sesuai digandingkan bersama lauk yang dimasak pada hari itu.
Nasi Minyak, lauknya memang sudah berjalan seiring, ada acar, ayam masak marah/ayam sambal atau ayam masak kurma yang menjadikan satu hidangan yang lengkap. Kebetulan cik June masih simpan sepeket papadom, maka hanya perlu digoreng sebagai makanan tambahan.
"Ma masak apa ni?" tanya Adik yang baru pulang dari kelas petang itu.
Cik June diam aje...tengoklah sendiri, bukan awak tu tetamu?
"Tutup api dapur tu, cedok masuk ke mangkuk," arah cik June bila dia masuk ke dapur sama mengacau Acar yang sudah siap itu.
"Dah boleh makan ke?"
"Makanlah," jawab cik June sambil memanjat tangga untuk menunaikan solat Asar.
Terdengar bunyi kerepak kerepuk di bawah. Kemain dia meratah Papadom yang siap bergoreng penuh satu bekas plastik. Sebulan cik June tinggalkan, tak pulak mahu dia mencari dan digoreng jadikan pemakan.
...bersama lauk sampingan.... |
"Huisy! Akak kena soal siasat 4 jam dengan polis hari ni..." kata si Kakak yang baru pulang membawa berita tergempar dari Tesco, tempat kerjanya hari ini.
Cik June di tengah mata tangga usai solat tadi bertanya, "Kenapa?"
"Budak cashier tu bawak lari duit tiga ribu," sahut si Kakak teruja dengan kejadian ala-ala CSI.
"Habis tu dah kena tangkap?"
"Mana ada...dia dah lari."
"Kenapa akak pulak disoal?"
"Staff admin semua kena," jawabnya.
"Kesiannya budak tu," ujar cik June. "Mana aje dia nak pergi dengan duit sebanyak itu? Esok-esok nak mintak kerja dah susah, nama dah ada dalam fail polis." Macam-macam aje...tak fikir panjang budak tu. "Dahlah! Makan cepat, karang dah masuk Maghrib."
"Bukan dalam bulan puasa pun kita makan masa dengar azan Maghrib ke?"
"Itu bulan puasa, setan-setan dah kena ikat. Sekarang ni kalau kita makan waktu Maghrib, setan sama berlumba-lumba masuk ke perut kita," marah cik June mengingatkan. Isy! Bebudak ni kalau tak menjawab tak sah.
Anak cik June yang kedua minta ber 'skype' malam itu. Dia dalam persediaan untuk ke San Diego membentangkan kertas kerjanya. Cik June pesan macam-macam.... "baju-baju dah cukup? dah simpan dalam beg? paspot, henset, kamera dan charger semua masukkan sekali dari malam. Esok pagi dah nak bertolak."
Angah yang tinggal di Brisbane masanya awal 2 jam dari Malaysia. Masa kami ber 'skype' jam 8.30 di Malaysia, dia sudah masuk pukul 10.30 malam.
Di sana malamnya sepi betul. Tak ada hiruk pikuk, riuh rendah bunyi suara anak-anak yang masih bekejar di laman. Mungkin kerana mereka pun bukan ada anak. Yang tinggal di kiri kanan rumah Angah di Young Street, Annerly tu semua kapel-kapel aje.
"Alarm jangan lupa pasang volume yang paling kuat, kalau tidak karang tertinggal penerbangan."
Eh! Risau betul. Kalau aje cik June tinggal di rumah sebelah, boleh diketukkan pintu rumahnya. Atau kalau tinggal dalam sama daerah, boleh di call. Ini dia jauh di Brisbane, masa cik June sedap tidur, dia dah kena bangun untuk bersiap pula.
"Mama masak apa hari ni?" Itu soalan wajib Angah setiap kali dia bertelefon atau ber 'skype'.
Tak apa, nanti Angah balik bercuti raya di sini, kita masak dan makan puas-puas. Kesian Angah!
Bon Voyage Ngah, all the best & good luck!
No comments:
Post a Comment