Tuesday, October 23, 2012

Hujan oh hujan...

Assalamualaikum to all.......

Sudah mula hujan sekarang ini di Setia Alam...dari pagi hingga ke petang cuacanya mendung terus dengan hembusan angin sejuk mengusik cuping telinga. Adoi! Nak mandi pun berchenta dibuatnya.
Cik June ke depan ke belakang tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan. Sudah beberapa hari tidak dapat keluar berjoging...asyik menghadap kerja-kerja menulis sahaja dengan mug kopi dan balang biskut kering yang diletak sama di atas meja. 



Kalau dapat karipap panas-panas tentu sedap, dalam hati cik June berkata walau jari jemari rancak menekan keypad menulis cerita yang tidak tahu nak diendingkan bagaimana. 


Tekak masih mengatakan mahu makan karipap juga...namun kaki malas pula hendak keluar mencari. Maka cik June geledah bakul mengambil 3 biji ubi kentang, 1 biji bawang besar dan ulas bawang putih. Kentang tadi dikupas kulitnya dan didadu. Bawang besar juga di dadu...manakala bawang putih tadi dicincang halus.

Panaskan kuali, letakkan 2 sudu besar minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar tadi...bila layu, masukkan 2 sudu besar rempah kari, sepelepah daun kari jika ada dan terus masukkan sedikit air. Gaul biar sebati. 

Dulu emak cik June guna ikan bilis sahaja untuk dijadikan perisa, tapi cik June gunakan sekeping daging burger yang dihancurkan terlebih dahulu. Masukkan bersama kentang tadi dan biarkan ubi kentang itu benar-benar empuk sambil sesekali dikacau supaya tidak melekat dan hangit pula nanti jika dibiarkan ia masak sendiri. Biar sampai airnya kering. Taburkan sedikit garam dan gula untuk mengimbangi rasa.


Cara mudah cik June....hehehe :D


Muahaha! Cik June ketawa sendirian di dapur. Nak sangat karipap tu....mengalahkan orang mengidam pula gayanya. Beria-ia cik June membuatnya.....


Ini yg dimaksudkan ringan tulang, berat perut....


Untuk bahan kulitnya pula, 2 cawan tepung gandum diayak ke dalam besen. Sedikit garam ditabur buat perisa. 1/2 cawan majerin/butter/ minyak masak dipanaskan. Tuang ke dalam besen berisi tepung tadi. Gaul dengan senduk kayu sehingga rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil diuli adunan itu sehingga rata dan lembut. Gentel-gentelkan dan canai atau canai dan terap dengan acuan berbentuk bulat. Isi inti ke dalamnya dan dikelim.

Burp! Si Tekak memberi isyarat apabila ia terasa kenyang. Alhamdulillah! Mulut menyatakan. Maka petang itu dapatlah menulis dengan aman. Begitulah kisah cik June di rumah ketika berseorangan melayan diri di musim hujan. 

Sehingga berjumpa lagi....tata!



Monday, October 22, 2012

Siakap Tiga Rasa....

Assalamualaikum to all......

Bersiaran cik June pagi ni setelah sekian lama menyepi. Masak seperti biasa...cuma tiada resipi yang istimewa untuk dikongsi.


Siakap Tiga Rasa


Cik June kongsikan resipi Siakap Tiga Rasa kerana resipi ini masih belum ada tayangan perdananya. 

Cik June ambil resipinya di SINI untuk anak-anak rujuk bahan-bahannya. Terima kasih kepada Azanie kerana sudi berkongsi resipi. Anak-anak yang ingin cuba membuatnya, jom kita salin apa yang diperlukan untuk memasaknya........

SIAKAP TIGA RASA
Sumber: Azanie

Bahan-bahan:

Utk ikan:
1 ekor Ikan Siakap
Tepung jagung - untuk di lumur pada ikan
Serbuk Pasti Sedap Knoor
Minyak untuk menggoreng ikan

Utk kuah:
1 biji bawang besar - potong dadu
3 biji bawang putih - diketuk
10 biji cili padi - potong kecik-kecik
1 inci halia - dihiris kecik
1 biji tomato - potong dadu
Segenggam nenas - yang dipotong dadu
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa ~ cik June tak letak
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
cik June tambah dengan 2 helai daun limau purut

Cara membuatnya:
Ikan dibersihkan dan ditoskan
Lumurkan ikan dengan Serbuk pasti sedap knoor.Pastikan semua bahagian di lumur rata
Kemudian, lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur ke dua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali
Pastikan minyak betul-betul panas barulah di masukkan ikan tadi
Goreng terendam ikan tersebut
Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
Panaskan minyak dalam kuali yang lain
Tumiskan cili padi, halia dan bawang putih
Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan sos ikan
Kacau sebentar
Masukkan bawang besar, tomato dan nenas
Masukkan air sedikit
Tambahkan garam, gula dan ajinomoto
Biarkan kuah mereneh seketika
Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi

Versi cik June...sengaja dilebihkan bahan sayurannya.....



Siakap Tiga Rasa ini enak dimakan panas-panas. Maka itu ia merupakan hidangan yang sekali hadap sahaja. Si Adik yang tidak berapa enak badan itu nampak laju dan berselera pula. Cik June yang memasak pun gembira bila yang dimasak itu disukai mereka.


BON APPETIT!



Wednesday, October 3, 2012

Claypot Japanese Tofu...

Assalamaulaikum to all........


Claypot Japanese Tofu...


Pernah dengar tak? Ini macam sejenis sup jugalah....kalau ada jamuan di hotel, mereka akan menghidangkan shark fin's soup atau sup sirip ikan yu. Tapi cik June buat versi yang murah dan mudah sahaja. Kalau demam dan rasa tidak enak badan, anak-anak boleh mencuba membuatnya. Mudah saja.....

1) Tumis 2 ulas bawang putih yang sudah di ketuk/cincang bersama hirisan isi ayam.
2) Masukkan pula carrot, brokoli, cendawan dan baby corn. Goreng sekejap biar layu.
3) Masukkan air ikut keperluan. Tutup claypot dan biarkan mendidih.
4) Sementara itu di bekas lain, gorengkan tauhu Jepun yg telah dihiris anggaran 1/2 inci tebal. Biarkan kuning di bahagian sebelah, baru diterbalikkan sebelah lagi.
5) Apabila sup sudah mula mendidih, perlahankan api. Bancuh sedikit tepung jagung dgn air dan masukkan ke dalam sup tujuan utk memekatkan kuah. 
6) Tepuk sebiji telur, curahkan ke dalam sup dan digaul biar rata. Letakkan perisa pati ayam dan lada sulah. 
7) Akhir sekali, masukkan tauhu Jepun yang telah digoreng tadi. Taburkan bawang goreng jika suka.




dimakan bersama nasi panas....


Mantops! Wa cakap lu.....
Tambah lagi dimakan bersama dengan terubuk masin, pergh! Nampak si Adik tak banyak songeh dengan hidangan malam itu. Cik June yang menyediakannya pun sama senang hati dan menambah berulang kali. Sesuai juga dijadikan santapan buat cucu-cucu yang datang bertandang, cik June mula terfikir.

Claypot entah zaman bila itu cik June jumpa masa mengemas almari kabinet. Jauh duduknya terpelosok ke belakang. Esok-esok boleh digunakan lagi untuk menu yang memerlukan penggunaannya.

Bon Appetit!






Tuesday, October 2, 2012

Ketayap...

Assalamualaikum to all........

Ketayap? Dari mana nama kuih ini diperolehi pun Cik June tidak tahu...pelik juga namanya, kan? Yang cik June ingat emak memanggilnya dengan nama Dadar Gulung. Kalau itu memang benarlah kerana kuih itu didadarkan dahulu, diisi dengan inti kelapanya dan digulung. Cik June memang 'pass with flying colors' kata orang putih dalam menebar ketayap ini. Emak memang mempercayai cik June dalam membuat Dadar Gulung aka Ketayap ini jika dia menerima tempahan dari jiran Cinanya yang hendak membuat open house dan birthday party. Entah mengapa jiran Cina emak itu sukakan Dadar Gulung aka Ketayap berbanding dengan Karipap dan Kuih Lapis.

Resipi emak main agak-agak aje...jadi cik June pun biasa agak-agak juga. Sudah beberapa hari ini si Kakak pulang dengan kuih Ketayap. Entah berapa sen sekeping, lupa pula cik June nak tanya. Maka cik June pun mula mengasah bakat yang sudah lama terpendam itu. Yalah...tinggal tak ramai ni rasanya beli itu lebih jimat kerana kalau kuihnya sekeping lima posen pun, cik June boleh perlbagaikan. 

Semasa anak-anak sibuk menonton TV minda cik June mengatakan ada sebungkus lagi kelapa parut yang dibeli masih berbaki. Siang tadi semasa menyelongkar esbok, ternampak sebuku gula Melaka entah bulan Ramadan dulu punya barangkali. Maka 1) dua lembar daun pandan di petik dari pasu yang pokoknya hidup segan mati tak  mau itu. Dicuci, disimpul dan ditebar ke dalam kuali bersama secawan air dan sebuku gula Melaka. (dihancurkan terlebih dahulu agar cepat mencair) 2) Tapis dan dijerang kembali bersama sebiji kelapa parut. Di gaul rata dan masukkan secubit garam. 3) Apabila sudah sedikit kering, taburkan anggaran sesudu besar tepung gandum untuk mengelakan intinya daripada kelihatan peroi. 4) Jika sudah benar-benar likat, tutup apinya.






Setelah menyiapkan inti kelapa pada sebelah malam, usai solat subuh Cik June dah mula ke dapur. 1) 2 cawan tepung gandum diayak ke dalam sebuah mangkuk. 2) Taburkan dengan secubit garam.
3) Tuangkan air perlahan-lahan sambil dikacau dengan whisk agar bahan tadi larut dan rata. (Untuk lebih mudah, masukkan ke dalam blender) anak-anak akan perolehi adunan yang halus dan pastikan adunan itu tidak terlalu cair dan tidak pula terlalu pekat.
4) Lenserkan sedikit minyak di atas kuali leper, curahkan sesenduk adunan dan diratakan seperti membuat telur dadar. 



Ketayap aka Dadar Gulung


5) Isikan inti ke dalamnya dan digulung kemas.



Bekal si Kakak...


"Ketayap?" tanya si Kakak bila menelek isi bekal. "Mama pandai buat ketayap?"

Cik June jeling dia...ingat Cik June ni baru lahir semalam agaknya...ish...ish...ish! Dulu anak-anak tidak sukakan kuih yang berintikan dan bersalutkan kelapa. Itu sebab Cik June jarang atau senang cakap tidak lagi membuatnya. Kebetulan Inche' Somi pun tak suka dengan makanan yang manis-manis, maka kuih-muih ini hampir pupus kehadirannya di rumah ini.

Skill membuat kuih muih hanya akan ditonjolkan jika ada teman-teman dan sanak saudara yang datang berkunjung. Ia merupakan kuih yang mudah dibuat sebenarnya...inti kelapanya boleh diguna berulangkali untuk kuih-kuih yang lain yang menggunakan inti yang sama. Alhamdulillah...kuih lama ini masih lagi digemari.

Selamat Mencuba!




Monday, October 1, 2012

Nasi Goreng Pattaya...

Assalamualaikum to all.......

Cik June mulai N3 di pagi Isnin ini dengan Nasi Goreng Pattaya. 



Buatan sendiri adalah lebih terjamin kesedapannya....hehehe


Masih ada nasi berbaki semalam kerana tiba-tiba tekak nak makan burger jalanan. 

"Ini kalau singgah McD sedap.." kata si Kakak petang semalam.

"Tak naklah burger McD...kering sangat. Kalau dapat burger jalanan yang macam dekat setesen bas Merlimau dulu...pergh!" cik June pula bukak cerita mengimbau kenangan semasa kami tinggal di Merlimau. 

Dua beradik perempuan ni bersekolah di Sekolah Menengah Dang Anum...bila cik June jemput mereka balik dari sekolah, mesti belok masuk ke setesen bas pekan kecil Merlimau itu untuk membeli burger jalanan. Mak cik yang menjualnya itu tidak lokek meletakkan sosnya. Itu sebab bila dibungkus panas-panas, burger yang hanya berharga rm1.20 itu menjadi sangat sedap. Juicy gitu!

"Jomlah!" ajak si Kakak. 

Maka kami pusing satu Setia Prima, iaitu kawasan rumah kedai yang kadang-kadang ada beberapa orang anak muda menggunakan van menjual bermacam jenis burger. Tapi malam tadi yang menjualnya orang lain pula. Menurutnya dia memang ambil port depan 7Eleven yang dibuka 24 jam itu.

Alhamdulillah! Dapatlah melepaskan hajat merasai burger jalanan di Setia Alam ini. Jadi, nasi yang tidak dimakan malam tadi itu cik June jadikan nasi goreng. Untuk menambah kesedapan dan untuk menarik minat si pemakan, cik June bungkus dengan telur dadar dan tadaaaa...........




Nasi Goreng Pattaya...


Dua biji telur bersaiz besar di tepuk perlahan dan ditebar di dalam non stick kuali. Golek-golekkan sikit kuali itu agar telur tadi melebar kejadiannya. Bila agak mengeras, masukkan sesenduk besar nasi goreng  dan dilipat menutupi nasi. Boleh dihias dengan salad, timun dan tomato sebagai sajian sampingan jika ada. Jika tidak, begini sahaja pun sudah memenuhi citarasa..hehehe

Adik yang bersiap awal untuk ke kelas memberitahu, "...mama, Adik puasa hari ni."

Oooo ye ke? 

"Exam habis kol 12.00," katanya sambil menyarung kasut.

"Okay...good luck!"

Lepas balik dari morning walk mengelilingi Tesco dan KFC...cik June duduk menghadap Nasi Goreng Pattaya yang tidak diusik oleh Adik. Tak makan nanti basi pulak....






Bismillah...cik June jadi tong sampah menghabiskan apa yang berbaki di rumah kerana nak tunggu Kakak dia akan hanya pulang petang nanti dan Adik yang berpuasa itu tidak akan memakannya waktu balik tengahari. Isy! Membazir aje buat morning walk tadi........

Bon Appetit!