Friday, June 8, 2012

Chef at Home...

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Kembali bersiaran dengan sambungan menu dari majlis kenduri di Kluang minggu lepas.



Perhatikan tangan comel cik June yang sedang menyiang sayuran untuk dibuat kerabu. Maaflah kerana tidak dapat merakam gambar yang telah siap...maklumlah chef sangat sibuk waktu itu dan potong kelapa  photographer pula sibuk merakam gambar dia dan sepupu sepapat yang baru berjumpa itu.
Jom kita ke menu seterusnya.........




Jiran tetangga yang datang membantu menumbuk sambal belacan untuk menu di atas. Ai! sapalah tu yang berangan jadi mandor? Hehehe...




Kacang merah yang telah siap direndam dan telah ditoskan untuk dijadikan Bubur Kacang Merah. Rajin anak sedara cik June ni, kan?




Aiyok!! Sapa punya kerja ni? siap korang jawab dengan emak. Habis sudip orang tua tu bengkok dikerjakan mereka. Dah cakap pakai sudip kayu...korang main tangkap muat aje....




Di atas adalah paparan wajah-wajah yang turut menghadirkan diri di majlis kenduri tersebut. Mereka-mereka yang baru sampai dan yang sedang merewang di kawasan belakang rumah tempat memasak cara bergotong royong dengan bantuan dari Chef Dapor Sendiri sahaja.
Di dalam kesibukan mengejar waktu, gambar-gambar menu seterusnya tidak sempat dirakam...maka itu berakhir di sini sahajalah lapuran tentang majlis kenduri kendara yang berlangsung baru-baru ini.

Semoga bertemu kembali di dapur cik June. Tata......



Wednesday, June 6, 2012

Apam Polkadot...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....

Orang dah buat Apam Indon, cik June baru nak buat Apam Polkadot. Tapi ini bukan cik June yang buat.....
Ini adalah salah satu diantara pencuci mulut yang dibuat di rumah emak semasa majlis kenduri minggu lepas. Kebetulan cik June sampai mereka sedang mengukus apam ini, maka cik June rakam dan sharenya untuk dijadikan N3.




Apam Polkadot ini dibuat oleh anak-anak saudara cik June...bangga jugalah kerana biasanya bahagian memasak selalunya waktu kenduri kendara ini dilakukan oleh orang-orang tua. Namun, anak-anak dara juga ternyata boleh disuruh ke dapur apabila yang tua sibuk berborak tidak cukup mulut bila sudah lama tidak berjumpa.....hihihi.....




"Ingat tak balik?" Soal emak semasa cik June memeluknya usai dia solat Asar di bilik.

"Malas nak beritahu...takut nanti orang mengharap," jawab cik June pula.

"Tu la...nasib baik budak bertiga ni rajin nak ke dapur," puji emak menaikkan semangat cucu-cucu perempuannya.

"Esok mak andak ambil bahagian masak lauk," ujar cik June sambil memantau kerja mereka. "Malam ni nak ke rumah YB Dato' Sharifah Azizah, dia nak jamu makan durian."




YB Dato' Sharifah Azizah tu kawan sama sekolah cik June dulu. Kami berjumpa di majlis perkahwinan anak Din, kawan sama sekolah juga. Oleh kerana sudah berpuluh tahun tidak berjumpa, maka beliau telah mempelawa ke rumahnya malam itu. Boleh klik sini jika mahu melihat siapakah teman-teman sekolah cik June dulu.
Dah macam reunion pulak kami di majlis perkahwinan tengahari itu bila Shebby Singh juga hadir ke majlis tersebut.
Puas hati balik kali ni kerana jumpa teman-teman lama yang datang sejauh dari Utara tanahair. Semoga masih ada lagi hari-hari yang bakal menemukan kami lagi selepas ini, insyaAllah.

Jom kita layan resipi untuk membuat Apam Polkadot ini..........

Cara-cara membuatnya..............

Bahan-bahannya....
3 biji telur (gred A)
220 gram gula halus
275 gram tepung gandum
3 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanila
1 sudu teh ovalette
150 gram susu segar
Pewarna kegemaran........
Cara membuatnya..........
1. Asing putih dan kuning telur. Pukul putih telur dengan gula halus sehingga sebati.
2. Masukkan ovalette, esen vanila dan juga kuning telur. Pukul lagi sehingga kembang.
3. Ayak tepung dengan baking powder. Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan telur sambil terus dipukul perlahan.
4. Masukkan susu cair dan gaulkan bersama sehingga sebati.
5. Asingkan sedikit dari adunan untuk diwarnakan menjadi polkadot.
6. Isi sedikit adunan ke dalam acuan, isi dengan jem/kaya dan ditutup lagi dengan adunan sebelum diletakkan dengan pewarna menyerupai polkadot.
7. Kukus selama 5 minit.

Selamat mencuba!




Tuesday, June 5, 2012

Paf Daging...

Assalamualaikum dan salam sejahtera........

Selamat bertemu kembali anak-anak yang dikasihi. N3 hari ini adalah hasil dari bekalan cik June pada hari Jumaat sebelum berlepas pulang ke kampung halaman.




Untuk menghabiskan stok makanan sebelum berangkat petang itu, cik June sempat menyediakan Paf Daging ini sebagai bekalan di dalam perjalanan yang panjang. Boleh aje kalau hendak menyinggah di R & R yang disediakan oleh pihak PLUS, tapi di waktu-waktu begini memang kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku.
Walau pada awal pembikinan lebuhraya dikatakan perjalanan menuju ke Selatan hanya memakan masa selama lebih kurang 3-4 jam mengikut cara pemanduan masing-masing.
Kalau dulu cik June hanya ambil masa selama 3 jam sahaja untuk sampai, namun sekarang ini memang memerlukan masa yang lebih dari itu kerana berjalan di musim cuti persekolahan dan musim orang mengadakan kenduri kahwin.
Kereta jangan cakaplah....rasanya habis satu Malaysia ni semuanya keluar dalam masa yang sama. Bermula dari persimpangan Nilai mengarah ke Selatan hingga melepasi Pedas/Linggi baru lalu lintas kembali seperti sedia kala.




Bagi cik June yang sudah biasa pulang ke kampung, kami memang berhati-hati dan membuat pelbagai persediaan seperti jangan memakan makanan yang pedas-pedas sebelum waktu perjalanan kerana bimbang akan mengalami sakit perut pula.
Pernah satu ketika kami berhenti di R & R Seremban dan di tandasnya ketiadaan air pula. Masing-masing yang memerlukan tempat itu memang akan menggunakannya. Bayangkan....bagaimana bau yang terhasil daripada itu?




Maka itu setiap kali jika ada rancangan untuk berjalan jauh ke Selatan atau Utara, pastikan anak-anak membawa bekalan makanan bersama untuk mengelak dari singgah membeli yang juga belum pasti akan kebersihannya di kala itu.
Mudah sahaja menyediakan Paf Daging ini. Anak-anak hanya memerlukan intinya sahaja. Pafnya boleh dibeli di super-supermarket. Isi dengan inti dan dilipat dua. Sapu dengan kuning telur di atasnya dan dibakar di dalam ketuhar dengan kepanasan 170 darjah Celsius selama 25 minit.




Jom kita minum dulu...............



Friday, June 1, 2012

Spaghetti Bolognaise...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.........

Cik June update ajelah N3 yang tak semenggah ni kerana mungkin untuk 2-3 hari ini cik June akan ke majlis kenduri kahwin di Johor, Maka dapur cik June tutup buat sementara waktu. Maaf ye anak-anak...kita akan bersiaran mulai Selasa depan, insyaAllah.

Jadi untuk hari ini cik June buat Spaghetti Bolognaise kerana bahan-bahan itu merupakan stok akhir dan sesuai pula menjadi santapan untuk sarapan pagi dan menu tengahari nanti.





Hei! Tak sabar rasanya hendak bertemu dengan orang tersayang ni. Kalau diikutkan bukan jauh sangat pun, tetapi urusan kehidupan setiap hari itu tidak memudahkan kami untuk sering bertemu.

"Akak!" cik June jerit dari tingkat bawah.
Tinggal di rumah bertingkat dengan penghuninya yang hanya 2-3 kerat ni memang nak kena jadi emak Tarzan. Siapa yang rajin nak menapak mengira mata tangga tu berkali-kali sehari?
Eee...cik June kalau siang memang solat pun di bilik bawah aje. Mau tanggal kepala lutut ni asyik turun naik, turun naik.

"Ye saya!" Si Kakak pun sama menjerit menyahut panggilan cik June.

"Baju-baju yang nak dibawak esok, siapkan dalam beg dari malam ni...esok mama jemput di tempat kerja tu, kita terus gerak," arah cik June memberitahu tentang jadual perjalanan kami sebab akak masih berkerja hari ini, dia ambil cuti hari Isnin. Sekurang-kurangnya kalau sampai semula ke sini malam Ahad itu, tidaklah dia berebut-rebut hendak ke pejabat Isnin nanti, kan?

"Yes ma'am!" jawabnya dari tingkat atas. Entah mengejek entah serius tu, wallahualam.

Kebetulan sekarang ini anak-anak yang bersekolah sedang bercuti, maka kesempatan itu diambil untuk berjumpa sahabat handai dan saudara mara. Memang kita tidak dapat memuaskan hati semua orang, jadi cik June akan singgah di beberapa tempat yang sehala perjalanannya. Mudah-mudahan kami selamat pergi dan selamat juga kembali. Semoga perjalanan kami nanti dilindungi oleh Allah SWT dari segala mara bahaya. Amin!

Menu mudah hari ini merupakan menu ulangtayang, maka cik June rasa tidak perlulah disertakan dengan resipinya lagi. Lagipun cik June sibuk hendak menyiapkan kerja-kerja rumah kerana ada 5 ekor kucing yang bakal cik June tinggalkan. Kita jamu mata ajelah ye anak-anak?


Bahan-bahan utama....

Mudah aje membuatnya...sekarang ini si Adik pun dah pandai. Itu yang cik June beritahu anak-anak, memasak ni nak kena buat selalu bertepatan dengan nama blog cik June ni 'Practice Makes Perfect' tak gitu?

Sosnya tu, kena pandai kita nak imbangkan rasanya. Memang ianya banyak menggunakan tomato puree, tapi tekak Melayu ni kurang sikit dengan makanan yang masam-masam. Maka...bolehlah dikurangkan dan kita lebihkan daging cincang agar nampak pekat sosnya. Jika suka pedas, semasa menumis tadi boleh juga dimasukkan dengan sesenduk dua cili kisar selain penggunaan serbuk lada hitam. Cik June pula suka imbangkan dengan sedikit gula dan nampaknya anak-anak suka dengan resipi cik June itu. Di dalam sos itu pula boleh dimasukkan dengan beberapa batang sosej selain cendawan butang dan bebola daging. 'Ala... kita yang buat dia'.










Sehingga berjumpa lagi....tata!