Sudah mula hujan sekarang ini di Setia Alam...dari pagi hingga ke petang cuacanya mendung terus dengan hembusan angin sejuk mengusik cuping telinga. Adoi! Nak mandi pun berchenta dibuatnya.
Cik June ke depan ke belakang tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan. Sudah beberapa hari tidak dapat keluar berjoging...asyik menghadap kerja-kerja menulis sahaja dengan mug kopi dan balang biskut kering yang diletak sama di atas meja.
Kalau dapat karipap panas-panas tentu sedap, dalam hati cik June berkata walau jari jemari rancak menekan keypad menulis cerita yang tidak tahu nak diendingkan bagaimana.
Tekak masih mengatakan mahu makan karipap juga...namun kaki malas pula hendak keluar mencari. Maka cik June geledah bakul mengambil 3 biji ubi kentang, 1 biji bawang besar dan ulas bawang putih. Kentang tadi dikupas kulitnya dan didadu. Bawang besar juga di dadu...manakala bawang putih tadi dicincang halus.
Panaskan kuali, letakkan 2 sudu besar minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar tadi...bila layu, masukkan 2 sudu besar rempah kari, sepelepah daun kari jika ada dan terus masukkan sedikit air. Gaul biar sebati.
Dulu emak cik June guna ikan bilis sahaja untuk dijadikan perisa, tapi cik June gunakan sekeping daging burger yang dihancurkan terlebih dahulu. Masukkan bersama kentang tadi dan biarkan ubi kentang itu benar-benar empuk sambil sesekali dikacau supaya tidak melekat dan hangit pula nanti jika dibiarkan ia masak sendiri. Biar sampai airnya kering. Taburkan sedikit garam dan gula untuk mengimbangi rasa.
Cara mudah cik June....hehehe :D |
Muahaha! Cik June ketawa sendirian di dapur. Nak sangat karipap tu....mengalahkan orang mengidam pula gayanya. Beria-ia cik June membuatnya.....
Ini yg dimaksudkan ringan tulang, berat perut.... |
Untuk bahan kulitnya pula, 2 cawan tepung gandum diayak ke dalam besen. Sedikit garam ditabur buat perisa. 1/2 cawan majerin/butter/ minyak masak dipanaskan. Tuang ke dalam besen berisi tepung tadi. Gaul dengan senduk kayu sehingga rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil diuli adunan itu sehingga rata dan lembut. Gentel-gentelkan dan canai atau canai dan terap dengan acuan berbentuk bulat. Isi inti ke dalamnya dan dikelim.
Burp! Si Tekak memberi isyarat apabila ia terasa kenyang. Alhamdulillah! Mulut menyatakan. Maka petang itu dapatlah menulis dengan aman. Begitulah kisah cik June di rumah ketika berseorangan melayan diri di musim hujan.
Sehingga berjumpa lagi....tata!
No comments:
Post a Comment