Showing posts with label Puding. Show all posts
Showing posts with label Puding. Show all posts

Wednesday, May 30, 2012

Puding Jagung

Assalamualaikum dan salam sejahtera......

Ini adalah menu dessert malam semalam. Rumah cik June dah malam baru orang semua ada di rumah sebab itu waktu memasak cik June adalah di sebelah lewat petang dan kekadang sambung lepas Maghrib. Dah gaya bulan puasa aje, kan?

Si Adik sedang bercuti semester dua minggu...jadi dialah yang ada di rumah meraba segala stok yang tersimpan di dalam kabinet dapur.

"Ma! Jagung dalam tin ni nak buat apa?"


"Kalau yang krim tu boleh buat puding dan kuih bakar," jerit cik June dari tingkat atas.

"Kalau nak buat puding tu, ada ke bahan-bahannya?" 

Ek...eh? Dia tanya kita? Dah tentu dia di dapur tu sedang menyelongkar lemari kabinet, carilah apa yang diperlukan untuk membuat Puding Jagung?


"Cari dulu resipinya....baru selongkar cari bahan," cik June beritahu supaya jangan pandai selongkar tapi tak pandai nak mengemas letak balik ke tempat asalnya. Nanti cik June juga yang separuh gila mencari tak jumpa.

Maka terhasillah Puding Jagung si Adik yang akhirnya cik June juga yang siapkan kerana dia tidak berani menggodak adunan yang sudah mulai kental di atas tungku dapur.




"Ma...kita tak ada acuan yang ngancam sikit ke?" tanya si Adik semasa cik June suruh dia selongkar cari acuan selain loyang yang tertebeng di tingkat pengering.

"Pakai ajelah acu kuih apam tu," arah cik June yang bimbang nanti adunan menjadi sejuk.

"Eee...tak lawa la," tambah si Adik lagi dengan mencebikkan bibirnya.

"Boleh je guna...nak lawa nanti terap dengan acuan biskut si Hana tu bila dah sejuk."

Memang sudah lama cik June tidak ada membeli acuan-acuan biskut, puding dan kek yang terkini walau silicone mould itu sedang hangat di pasaran.
Tak sangka pulak dia rajin nak ke dapur. Selalu tu asyik menghadap lap-top di biliknya aje...kalau tidak pun  menghadap TV dari pagi sampai malam. Isy!




"Ala...togel je?" kata si Adik apabila puding yang telah sejuk tadi ditanggalkan dari acuan dan diletakkan ke dalam mangkuk kecil.

"Buatlah sosnya..." suruh si Kakak malam itu.


"Tak leh...susu cair dah habis."


Kemudian mereka berdua berpandangan. "Ala...kita yang buat dia," jawab si Adik dan Kakak serentak belum sempat cik June bukak mulut menjawab.

"Tau tak pe..." Dah berapa kali cik June beritahu, benda ni semua kita yang buat dia, suka hatilah nak letak apa yang rasanya boleh jalan seganding dengan resipi tu, kan?


Si Kakak ke kabinet dapur mencari Fruit Cocktail yang masih berbaki satu tin di dalam stok simpanan.

"Ah! Nyaman..." dua beradik tadi menyandar sambil menonton Love Rain drama Korea dari channel 391 yang bermula dari jam 9.00 hingga 10.00 malam.




Untuk anak-anak inginkan resipi mudah ini, jom kita salin.....

PUDING JAGUNG
Bahan-bahannya....
1 cawan tepung kastad
2 cawan air
2 cawan susu segar @ susu cair
1/2 cawan gula
1 biji telur
1/2 tin jagung berkrim
Cara menyediakannya.......
1. Masukkan ke semua bahan kecuali jagung ke dalam sebuah bekas yang besar. Kacau perlahan sehingga adunan rata dan tidak bergentel. ~ blend adunan atau tapis agar ia menjadi lebih halus ~
2. Campur dengan jagung dan dimasak di atas api perlahan sehingga pekat dan likat.
3. Tuang adunan ke dalam acuan kegemaran dan biarkan ia sejuk.

Selamat Mencuba!








Tuesday, May 8, 2012

Puding Roti...

Assalamualaikum to all..........

Si Kakak tiba-tiba sibuk minta dibuatkan puding roti.

"Puding roti di PJ Hilton tu sedap betul la...," si kakak membuka cerita pada satu petang.

Si Adik mencebikkan bibirnya. Kakak ni semuanya sedap pada dia. Kalau orang cakap tolak batu dengan kayu, si kakak pula semua tu dia bedal.

"Ei! Tak payah nak tolak-tolak...sekarang ni semua dah boleh dimakan," katanya menyakinkan si Adik.

"Akak nak makan kayu ke?" Tanya si Adik yang sudah mengetahui tentang cerita mengenai kakaknya semasa berusia 8 bulan dahulu pernah makan ulat beluncas.

"Ikan kayu, boleh makan kan?"

Si Adik angguk.

"Jambu batu, boleh makan kan?"

Adik angguk lagi.

"Belimbing....."

"Belimbing besi," sambung si Adik belum sempat si Kakak menghabiskan kata-katanya. "...dah tau dah!"

Rupa sebelum dibakar.....

Semasa dalam proses pembakaran....


























Semasa mereka dua beradik bertekak menegakkan benang yang basah, cik June sempat membuat seloyang puding roti seperti yang dikehendaki.....

PUDING ROTI...
Bahan-bahannya...
1 bantal roti ~ cik June buat setengah dari resipi ini, jadi bahan-bahannya harus dibahagi dua.
1 peket (250 ml) santan kotak
8 camca besar gula pasir
1 camca teh esen vanilla
1 camca teh serbuk kayu manis
1/2 camca teh serbuk buah pala
4 biji telur
2 camca besar mentega
3 camca makan kismis ~ nak letak buah2an campuran lain pun boleh juga.
1 camca besar gula icing ~ utk ditabur atas puding.

Cara membuatnya...
1. Rendamkan roti dengan santan & gula pasir.
2. Tuangkan telur yang sudah dipukul bersama esen vanilla, serbuk kayu manis, serbuk buah pala, mentega, kismis dan bahan buahan lain jika suka.
3. Masukkan ke dalam loyang dan dibakar selama 20 minit atau sehingga masak dalam suhu 170 darjah Celcius.
4. Taburkan dengan gula icing apabila telah masak.

Ooops! Bahagian terakhir tu tak sempat berposing kerana menurut anak-anak cik June, puding ini sedap dimakan di waktu masih panas. Maka..........selesailah sudah! Lenkali kita buat guna resipi penuhlah...setengah batch ni sikit sangat.


Selamat Mencuba!









Wednesday, November 9, 2011

Puding Roti Marble....

Assalamualaikum........
N3 hasil dari blogwalking ke dapur Yatiememories....cik June berjaya menemui jalan penamat kepada
masalah baki roti yang tersimpan. Sengaja cik June pilih resepi mudah ini agar anak-anak senang membuatnya.
Jom anak-anak kita selongkar dapur Cik June............



Yang siap dilapis.......


Bahan-bahannya:
4 keping roti
2 biji telur
1/2 cawan susu pekat
170 ml susu cair
1/2 cawan gula pasir 2 sudu besar butter ~ dicairkan
3 1/2 cawan air 
2 sudu besar koko/coklat emulco
10 gram serbuk agar-agar


Agar-agar yg cik June gunakan.....
Cara penyediaannya.....
1. Masak agar-agar dengan 3 cawan air dan gula.
2. Blender roti, telur, susu pekat. susu cair dan 1/2 cawan air ( baki dari 3 1/2 cawan tadi ).
3. Campurkan bahan yang diblender tadi kedalam agar-agar yang dimasak. 
4. Apabila agar-agar telah mendidih, tuangkan butter cari dan digaul rata. 
    Tutup api.
5. Bahagi adunan kepada 2 bahagian: 
    a) biarkan dengan warna asal
    b) campurkan dengan koko yang telah dibancuh dengan sedikit air supaya tidak bergentel.
6. Ambil sesenduk adunan asal dan tuang di tengah-tengah loyang. Tuang pula adunan koko dan 
    seterusnya bergilir-gilir sehingga dua-dua adunan habis. Puding akan bergerak ke tepi dengan
    sendirinya. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong.



Yang siap dipotong dan dihidang........
   
Selamat Mencuba!




Friday, June 10, 2011

Puding segera...



Laici dan potongan agar-agar

Salam........

Oleh kerana cuaca panas yang melanda sekarang ini, kami sekeluarga
coming up with an idea untuk puding segera sebagai dessert kami selepas makan malam.
Bahannya mudah sahaja....

I tin buah-buahan kegemaran
1 tin susu cair
potongan agar-agar
ketulan ais

Cara:
Campurkan kesemua bahan ke dalam bekas yang besar dan digaul rata.
Sedia untuk dihidang.

Selamat Mencuba!


Pesan Kak June: Kalau sedap kongsi dengan teman,
jika tidak, simpan buat kenangan.