Macam tak menarik je resipi cik June hari ni kan?
cekodok bilis.... |
Cadang nak goreng mihun, nak masak ini, nak masak itu...tapi cik June sensorang je. Maka untuk mengalas perut pagi ni, cik June buatlah Cekodok Bilis ni aje. Colek dengan sambal ayam baki lauk dinner malam tadi.
Untuk cari mood nak bagi Cekodok Bilis tu jadi sedap, cik June bawa ke laman sekangkang kera yang menghadap ke jalan besar. Kebetulan pagi ini cuacanya nampak baik pula....matahari mahu pula memberikan senyumannya. Ah!! Sudah tentu kering kain baju di jemuran.
Melambai lalu Mrs. Lim dari rumah nombor 17 yang pulang dari membeli suratkhabar dan mencari sarapan pagi juga barangkali kerana cik June nampak ada seplastik bungkusan di tangannya yang sebelah, manakala yang sebelah lagi memegang payung dan mengepit suratkhabar di ketiak. "Good Morning!" sapanya ramah.
Seronok pulak bersarapan di laman ni...nampak bas ekspress meluncur laju setelah lampu isyarat bertukar ke warna hijau. Sani Express dua tingkatlah...mak ai! Tentu orang di sebelah tingkat atas tu nampak cik June tengah berangan bersarapan di luar.
nyamannya suasana... |
Wah! Bahagia rasa bila lihat bunga-bunga segar berkembang selepas turunnya hujan. Terima kasih Ya Allah...kerana meringankan kerjaku dengan rahmatMU. Jika tidak terpaksalah cik June menarik getah menyiram pokok yang ada beberapa pasu itu setiap pagi dan petang. Itupun kalau ada di rumah...kalau gatal kaki nak merayap...memang lentoklah pokok-pokok itu di dalam pasu.
Kemboja merah dan bunga kertas... |
Minggu lepas cik June melayan Hana Sofya yang ditinggalkan di sini buat teman berhibur cik June. Riuh rendah mulutnya macam mak nenek. Tak sangka si kecik tu baru je dua tahun setengah usianya, tapi sudah petah bercakap. Masa tu pula tengah hujan berlarutan, maka tak sempat cik June hendak membawanya keluar dari rumah pun. Nasib baik pula dia jenis yang suka menonton TV, jadi cik June umpan dengan channel 611 sepanjang hari.
inilah keluarga cik June kalau ada semuanya..... |
Nostalgia sungguh gambar ni....
Sebab itu cik June suka menyibukkan diri menulis sepanjang hari....dengan yang demikian, cik June tidak akan sedar masa yang berlalu. Nak masak-masak tunggu kalau ada sedara-mara yang datang bertandang atau anak-anak semua pulang. Buat masa ni, kita layanlah Cekodok Bilis ni dulu. Cik June tak sertakan resipilah anak-anak, sebab Cekodok Bilis ni mudah sangat membuatnya.
Campurkan sedikit taugeh, daun bawang, ikan bilis dan ubi kentang yang dipotong kiub bersama sedikit tepung dan sedikit garam. Gaul rata sambil dimasukkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan yang dikehendakki. Goreng atau jika tidak suka berminyak, boleh dilempengkan sahaja. Lebih sedap dimakan dengan sambal tumis.
jom kita sarapan dulu! |
Bon Appetit!
No comments:
Post a Comment