Tuesday, September 4, 2012

Ikan Keli/ Ikan Sembilang...

Assalamualaikum anak-anak....

Sementara menunggu si Kakak yang sedang berjimba-jimba di Seoul Korea itu pulang ( sebab dia bawa camera kegunaan blog ini ) cik June suka nak kongsikan satu pengalaman yang sudah bertahun lamanya dan sehingga kini bila ditanya, beginilah ceritanya..........

Ikan Sembilang
Ini kisah Ikan Keli dan Ikan Sembilang...walaupun rupanya agak sama tetapi mereka ini datang dari berlainan daerah.

Asalnya, Emak cik June memang tak makan Ikan Keli dan yang seangkatan dengannya, yang bermaksud ikan sungai atau ikan air tawar. Tapi Emak rela memasakkan untuk sesiapa yang suka hendak memakannya berbanding cik June yang memang sudah terikut-ikut tidak makan malah langsung tidak mahu memasaknya.

Zalim ko June!

Terdengar suara-suara sumbang yang mengatakan demikian. Tetapi cik June terima kerana telah memasukki kategori zalim bila satu hari.............

"Semalam lepas main golf tu, En Rahman ajak makan malam di rumahnya," suami cik June bercerita selepas pulang dari Pertandingan Golf di Kelab Tanjung Emas, Muar. "...orang rumahnya masak Ikan Sembilang, sedap pulak."

Isy! Kemain dia memuji masakan isteri orang ye? "Dia masak apa Ikan Sembilang tu?" sempat cik June bertanya walau dalam hati gewam je mendengar.


Setelah dimasak Asam Pedas....

"Masak asam pedas je...macam yang you selalu buat tu?"

Eh! Nak ambil hatilah tu!

"You makan ke Ikan Sembilang tu?" cik June tanya dia. Dia bukan satu kepala dengan cik June ke...sama-sama makannya memilih?

"En Rahman cakap Ikan Sembilang tu ikan laut...dah dekat rumah orang, I bedal ajelah..."

Isy...isy...isy! Sesedap oren je dia...

"Rasa dia macam mana?" cik June yang mula eksaited itu menanya.

"Macam rasa ikanlah.....lembut aje isinya."

Kami tinggal di Merlimau ketika itu...dan satu hari ketika ke Jusco Melaka, kami ke bahagian Supermarket dan menemui Ikan Sembilang yang bergolek di atas meja yang berais.

Encik Somi memandang cik June..."Kalau I beli you nak masak tak?"

"Boleh kot? Tapi suruh dia siap-siap sianglah..."

Untuk percubaan Encik Somi beli seekor dan diarah untuk menyiangnya terus. Kira kalau balik tu tinggal basuh-basuh dan masukkan dalam periuklah.

Esok paginya cik June keluarkan untuk didefrost. Sampai waktu hendak membasuhnya peluh jantan betina semua keluar meremangkan bulu roma. Rasa macam rambut cik June semua tegak di kepala bagai kena karan.

"Munimah!!!" cik June jerit memanggil pembantu. 

Berlari si pembantu cik June yang sedang mengemas tingkat atas rumah itu. Mujur tak tergolek dari tangga. Sangkanya ada ular masuk ke dalam rumah kerana cik June memang fobia dengan ular, maklum di kawasan estet yang dikelilingi dengan pokok kelapa sawit ni rumah kita memang sering akan menerima pelawat yang tidak diundang itu.

Tetiba cik June terasa malu pula, jadi cik June ubah topik. "Ikan ni nanti awak bawak balik jelah."

Munimah buat muka Incredible Hulk...gewam barangkali. Penat-penat berlari turun dari 33 mata tangga itu, hanya nak beri Ikan Sembilang. Karang masa nak balik kan boleh?

gambar ehsan pak cik google...
Tengahari itu, En Somi balik makan dengan harapan ada Asam Pedas Ikan Sembilang, namun masih berlaukan Asam Pedas Ikan Parang pula. Sempat tadi cik June gantikan dengan ikan parang sebab bahan-bahan untuk memasak Asam Pedas telahpun disediakan.

"Mana Ikan Sembilang semalam?" tanya Encik Somi yang mungkin menyangka si Tempang ( seekor dari kucing jalanan yang kami ambil pelihara ) telah mencuri makan sebab itu diganti dengan Ikan Parang pula.

"Kalau you teringin sangat nak makan kan? I tak kisah...you pergilah makan di kedai," jawab cik June memujuk dengan suara yang lembut gemalai. "Rupa dia sebiji macam cik anjang tu...I tak berani nak pegang pun," kata cik June lagi dengan gaya geli mat geleman.

"Habis mana pergi ikannya?"

"I'm so sorry...I dah bagi kat Munimah."

Semoga Allah mengampunkan dosa cik June kerana sehingga akhir hayatnya, Encik Somi memang tidak pernah dapat makan Asam Pedas Ikan Sembilang hasil dari air tangan cik June. Zalim tak?

Practice Makes Perfect: Sila jadikan pengajaran dari cerita cik June ini ye?



No comments:

Post a Comment