Monday, May 7, 2012

Ikan sumbat...

Assalamualaikum to all......

Menu mudah cik June hari ini ialah ikan cencaru sumbat. Sesetengah menggelar menu ini sebagai ikan 'bare-back' kerana terbelah di belakang.

Ramai orang yang mengakui tidak makan ikan ini, entah kenapa. Beberapa orang kenalan cik June mengatakan mereka tidak tahu hendak menyiang ikan yang memakai jeket ini. Emak cik June sendiri pun tidak berapa sukakan ikan ini kerana katanya ikan ini isinya sedikit tawar.

Tapi entah macam mana cik June anak beranak memang gemar atau terpaksa suka dengan ikan jeket ini, mungkin kerana kami tiada banyak pilihan semasa tinggal di daerah pedalaman. Kami hanya keluar ke pekan yang berhampiran untuk mendapatkan bekalan makanan pada hujung minggu sahaja. Jadi stok bekalan haruslah mencukupi sehingga minggu berikutnya.

Satu ketika, semasa kami ke pasar...hanya ikan cencaru ini sahaja yang masih ada dalam kuantiti yang banyak dan masih segar. Maka cik June terpaksa membelinya untuk stok seminggu kami walau cik June sendiri ketika itu tidak berapa pandai menguliti jeketnya. Jika tidak pandai dan ikan dalam keadaan tidak segar, dengan isi-isinya sekali akan tersiat sama.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, minda mula diarah mengatur mencari resipi apakah yang sesuai untuk dijadikan bahan makanan yang enak dengan berasaskan ikan cencaru ini selain hanya dibakar sahaja. Ketika itu cik June teringat akan kata-kata seorang teman 'ala....kita yang buat dia...'. Kata-katanya itu tidak akan dapat cik June lupakan dan ia menjadi semangat mendorong agar tidak mudah berputus asa.

Thank You Puan Hajah Sharifah Hanim Syed Mustaffa, jasamu dikenang selagi hayat dikandung badan. Anak-anak cik June memanggil beliau Umi Hanim dan anak-anak boleh lawati beliau di SINI....



Mohon maaflah anak-anak, tak sempat nak posingkan menu ini untuk dilihat menarik. Cadangnya nak dibalut dengan daun kunyit untuk meningkatkan aromanya dan dilihat menarik disamping mengelakkan isi yang disumbat itu bertaburan ketika digoreng.

Namun, daun kunyit cik June yang ditanam di dalam pasu itu, telah menjadi habuan belalang kunyit pula. Nak dibuat macam mana, dah menjadi rezekinya. Tapi rasanya tetap sama cuma mungkin kalau dibalut dengan daun kunyit tadi, dapat menaikkan aroma menu ikan sumbat ini. Wallahualam.

Walau bagaimanapun, kepada anak-anak yang ingin mencuba, cik June sertakan dengan resipinya di bawah ini........

IKAN SUMBAT...
Bahan-bahannya...
2 ekor ikan cencaru ~ disiang bersih dan dibelah belakangnya
10 tangkai cili kering *
5 biji bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 inci belacan *
segenggam kelapa parut

Cara menyediakannya...
1. Cuci cili kering tadi dan goreng bersama dengan bahan yang bertanda *.
2. Kisar atau tumbuk halus bahan goreng.
3. Gaul bersama kelapa parut hingga rata.
4. Campurkan dengan sedikit air asam jawa, gula dan garam. Rasa masam manisnya.
5. Sumbat bahan tumbuk ini ke dalam ikan yang telah dibelah belakangnya tadi.
6. Lilit dengan daun kunyit (jika ada) dan bolehlah dibakar/goreng hingga masak.

Mudahkan anak-anak? 









No comments:

Post a Comment