Serimuka ni dibuat untuk sarapan pagi sebenarnya, tapi oleh kerana jarang dibuat, maka apabila siap sahaja, ada yang sudah menjengah berulang kali. Maka sambil-sambil menonton di waktu malam itu, berjamulah dengan seteko kopi panas yang dibawa pulang oleh anak dan menantu yang baru pulang bershopping di Bandong.
"Tak sedap pun kopinya," beritahu si Adik yang mula menghirup perlahan. "Apa yang femes sangat kopi ni di sana?"
Cik June hanya angkat bahu tanda tidak tahu kerana cik June sudah terbiasa dengan kopi cap tv dari Kluang.
"Ei! dia orang cakap kopi tu dah disimpan selama 8 tahun dan hanya dijual sebanyak 20kg sehari sahaja," si Abang menjelaskan.
"Mama tak pandai nak sukat tak? Sepeket tu cuma ada 250gm aje...kalau letak banyak sudu, berapa kali aje dapat buat?" cik June menerangkan keadaan. Seteko diletak 3 sudu makan pun macam cair aje? Tapi tak apalah...dah dilayan dengan kuih serimuka yang masih melekit tu, sedap pula jadinya.
Serimuka dan kopi dari Bandong.... |
Malam itu kami semua menonton bolasepak perlawanan diantara pasukan Sime Darby dan Kelantan. Kucing cik June yang sekor ni pun sama sibuk juga. Tengok.......
Untuk anak-anak yang ingin cuba membuatnya, di bawah ini cik June sediakan resipinya......
SERIMUKA ~ dari dapur cik June
Bahan-bahannya...
Lapisan Pulut...
1 1/2 cawan beras pulut ~ seeloknya direndam semalaman
1 cawan santan cair
secubit garam
1 helai daun pandan ~ disimpul
....Pulut yang direndam tadi dicuci bersih dan ditoskan.
2. Masukkan ke dalam loyang 8 inci. Campur santan cair bersama garam dan gaulkan pada pulut. Masukkan daun pandan dan kukus sehingga masak ~ 30 minit.
3. Keluarkan daun pandan dan gemburkan pulut menggunakan garpu. Kemudian mampatkan pulut dengan menekan menggunakan daun pisang atau kertas aluminium. Kukus lagi selama 15 minit.
Lapisan Tepung...
3 biji telur
1 cawan pati santan
3/4 cawan gula pasir
1/4 cawan tepung gandum
1 camca besar tepung jagung
sedikit esen pandan @ 1/4 cawan air daun pandan dan kurangkan santan kepada 3/4 cawan.
.....campur telur, santan dan gula ke dalam mangkuk. Kacau perlahan sambil campurkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak terlebih dahulu.
2. Letak mangkuk tahan panas ke dalam air mendidih dan kacau berterusan sehingga adunan menjadi pekat.
3. Tuang adunan ini ke atas lapisan pulut dan kukus di atas api kecil (untuk mendapatkan permukaan yang rata) selama 25 minit lagi atau sehingga masak.
4. Biarkan sejuk sebelum dipotong.
Akibat tak sabar menunggu sehingga sejuk, maka lapisan tepungnya masih lagi melekit. Sebelah malam sahaja sudah habis separuh dari loyang tu, esok paginya tinggallah berbaki seperti gambar di bawah ini....
...baki utk b/fast.... |
No comments:
Post a Comment