Ini menu malam semalam. Cik June yang teringin nak makan Nasi Dagang sebab dah lama benar tak jumpa orang yang menjualnya. Anak-anak cik June tak berapa gemar kerana nasinya ada dicampur dengan beras pulut.
Ini pun mujur cik June buat dengan beras pulut biasa, kalau menggunakan beras pulut merah tu lagilah dia orang tak usik.
Tapi cik June memang pandai dan suka makan Nasi Dagang ini sejak berdagang di Mersing, Johor dulu.
Rumah Cik June tu dikelilingi oleh mak cik-makcik yang berasal dari Terengganu. Cik June pertama kali diperkenalkan dengan Nasi Dagang menggantikan Nasi Lemak.
Nasi Dagang versi cik June... |
Mula-mula tu ingatkan macam Nasi Lemak aje bungkusannya. Tapi pelik bila bukak bungkus tu ada lauk gulai ikan sekali. Dah biasa makan Nasi Lemak cuma ada sambal tumis, bilis goreng dan timun sahaja. Pagi-pagi pulak tu. Kalau dengan emak biasanya kami makan kuih muih atau roti sahaja untuk sarapan.
Lama kelamaan...oleh kerana suka makan, cik June pun belajarlah cara membuatnya dengan jiran cik June yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan tetapi sudah lama hidup berdagang macam cik June juga. Terima kasih untuk Puan Noor Aini Mohamed, berkat tunjuk ajar anda, saya telah pun berjaya membuatnya jika teringin.
Kepada anak-anak yang mahu mencuba, jom kita semak bahan yang diperlukan.......
NASI DAGANG ~ versi cik June
Bahan-bahannya.....
2 cawan beras pulut merah ~ oleh kerana cik June tak ada beras pulut merah, maka cik June gantikan dengan 1 cawan beras panjang + 1 cawan beras pulut putih ~
1 cawan pati santan
secubit garam
1/2 sudu teh halba
2 cm halia ~ dimayang halus
4 biji bawang merah ~ dimayang halus
Cara menyediakannya...
1. Rendam beras pulut beberapa jam, sebaiknya semalaman. ~ dalam versi cik June, pulut dan beras itu dicampur sekali dgn halba, bawang dan halia mayang dan ditanak seperti memasak nasi biasa bersama santan yang mencukupi ~
2. Kukus beras pulut selama 30 minit.
3. Campurkan garam dan santan ke dalam mangkuk besar. Masukkan pulut yang dikukus tadi dan gaul rata bersama halba, halia dan bawang merah.
3. Masukkan semula ke dalam kukusan dan dikukus lagi 30 minit.
Nasi Dagang biasanya dimakan dengan hidangan sampingan iaitu Gulai Ikan Tongkol dan Acar Timun.
Untuk resipi Gulai Ikan Tongkol, berikut adalah bahan-bahannya........
...gulai ikan tongkol/aya.... |
GULAI IKAN TONGKOL...
Bahan-bahannya...
2 ekor ikan tongkol yang sederhana besar
1 senduk makan cili kisar
1 kotak santan
7 biji bawang merah *
4 ulas bawang putih *
1 inci halia *
1 inci kunyit hidup *
1 inci lengkuas *
2 sudu makan ketumbar
....Kisar atau tumbuk halus bahan bertanda *
Cara menyediakannya....
1. Ikan tongkol yang sudah dibersihkan tadi direbus dengan asam keping dan sedikit garam. Ketepikan.
2. Tumis cili kisar dan bahan tumbuk tadi sehingga garing. Masukkan air rebusan dan santan. Biar mendidih dan rasa asam garamnya kerana air rebusan tadi sudah dimasukkan dengan asam keping dan garam.
3. Masukkan ketumbar biji yang ditumbuk kasar dan ikan. Biarkan ia merenih.
4. Boleh juga dimasukkan beberapa biji cili padi atau cili hijau ke dalam gulai ini.
Acar... |
ACAR TIMUN...
Bahan-bahannya...
1 batang timun
1 batang carrot
1 batang cili merah
1 batang cili hijau
1 labu bawang besar
....hiris bahan atas ikut suka ~ cik June hiris rampai utk kelainan. Hehehe...~
Masukkan ke dalam bekas besar dan letakkan sedikit garam, gula dan cuka.
2. Gaul rata.
"Ma, adik rasa Nasi Kerabu lagi sedap la," komplen si Adik setelah menghabiskan sepinggan dengan 2 potong ikan.
Anak-anak cik June diperkenalkan dengan Nasi Kerabu semasa kami tinggal di Simpang Renggam dulu. Di sana banyak terjual Nasi Kerabu di Bazar Ramadhan. Sepupu mereka Nur Liesa, anak adik cik June yang berbapakan orang dari Pasir Mas, Kelantan itu sangat gemarkan Nasi Kerabu waktu berbuka. Maka anak cik June pun mulalah belajar menyukai nasi tersebut yang berlaukan telur masin, solok lada dan daging salai dicolek dengan sambal budu.
Muahaha....gelak guling-guling cik June bila sudah makan baru mereka hendak bertanyakan sambal budu tu.
"Budu?"
Mak Uteh yang kaki menyakat tu angguk senyum. Amek kau! Dah habis sepinggan pun.
Untuk anak-anak yang dikasihi...Selamat Mencuba!
No comments:
Post a Comment